
PUTRAJAYA: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) dan Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Jabatan Pertanian Berhad (iKOOP), memeterai perjanjian kerjasama strategik yang membolehkan Andalusia menyediakan tawaran istimewa mengerjakan umrah kepada ahli koperasi itu.
Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, kerjasama itu membolehkan koperasi memastikan ahli mereka mendapat perkhidmatan berkualiti tinggi serta meningkatkan kepuasan dan reputasi organisasi.
Selain itu, katanya kerjasama itu bertujuan membaiki pengurusan risiko, termasuk menghindari isu penipuan pelancongan, umrah dan haji.
“Koperasi boleh memastikan ahli mereka mendapat perkhidmatan berkualiti tinggi selain meningkatkan kepuasan dan reputasi organisasi.
“Melalui kolaborasi bersama koperasi ini, kita dapat memberikan kepada mereka (ahli) satu jaminan, mungkin koperasi boleh memberikan wang pendahuluan untuk mereka menunaikan umrah.
“Pada masa sama, kita di Andalusia ingin memberi banyak tawaran apabila tiba masanya mengikut musim. Mereka ini ramai ahli, maka ada tawaran yang kita boleh berikan mengikut kesesuaian pada waktu itu,” katanya dalam sidang media selepas majlis memeterai kerjasama strategik di Wisma Tani, hari ini.
Md Daud berkata, tawaran disediakan seperti potongan harga RM200 untuk seorang ahli yang berdaftar bersama ahli keluarga bagi pakej umrah Andalusia sepanjang musim 1447H/2025-2026M.
Menurutnya, Andalusia turut menawarkan pakej umrah percuma kepada seorang individu bagi setiap pendaftaran 25 ahli dalam satu resit dan tarikh penerbangan yang sama.
Sementara itu, Pengerusi iKOOP, Ts Azreen Basir berkata, kolaborasi bersama Andalusia membolehkan seramai 1,500 ahli berpeluang menikmati kemudahan pembiayaan disediakan oleh pihak koperasi untuk menunaikan umrah. – HARAKAHDAILY 20/2/25




















