
SHAH ALAM: Masalah kepadatan murid dalam sekolah di Selangor masih berada pada tahap kritikal dan memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, walaupun terdapat sekolah yang menjalankan waktu pembelajaran dua sesi, murid di dalam sesebuah kelas pada setiap sesi tetap padat dan melebihi jumlah bilangan selesa bagi guru dan murid.
“Berdasarkan Maklumat Asas Pendidikan Negeri Selangor sehingga 1 Februari lalu, terdapat 942 buah sekolah rendah dan menengah yang beroperasi dengan jumlah murid sebanyak 937,819.
“Pada 2019, masalah kepadatan murid juga kritikal dengan seramai 891,966 murid bersekolah di 939 buah sekolah di Selangor. Selepas 6 tahun hanya ada pertambahan 3 buah sekolah dengan jumlah murid yang semakin meningkat.
“Pembinaan kelas kabin yang dicadangkan hanyalah langkah jangka masa pendek dan tidak sesuai untuk mengatasi masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras dalam pada itu meminta pihak kerajaan supaya memantau dan mengambil serius berkenaan isu kelewatan pembinaan sekolah yang telah dirancang.
“Amaran awal dan tindakan tegas mesti diambil kepada kontraktor terlibat dan jangan dibiarkan sehingga projek-projek ini diisytiharkan sebagai projek sakit yang merugikan negara.
“Sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi, kualiti pendidikan di negeri ini juga mesti setanding pembangunan dan kemajuan yang dicapai. Anak-anak murid sekolah layak mendapat suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan ‘Selangor deserves better’,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/2025











