Pengurusan sisa pepejal: Terengganu timba ilmu Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kunjung hormat delegasi Kerajaan Negeri Terengganu ke Kedah, antara lain ingin berkongsi pengalaman berkenaan pengurusan sisa pepejal yang dilaksanakan negeri ini sejak 15 tahun lalu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Kedah antara negeri yang telah menandatangani Akta 672 iaitu Akta Pelupusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara.

“Setakat ini, kami merasa amat berpuas hati dengan taklimat dan perkongsian dari pihak negeri Kedah, berkenaan pengurusan sisa pepejal di negeri ini, yang boleh dikatakan yang terbaik.

“Malah penurunan aduan berkenaan sampah berkurangan lebih daripada 90 peratus, menunjukkan keberkesanan pelaksanaan Akta 672 di negeri itu dan ia juga merupakan kejayaan pihak yang mengurus termasuk kerajaan negeri sendiri,” kata.

Beliau ketika ditemui Harakahdaily di Wisma Darul Aman, kelmarin turut memaklumkan bahawa Terengganu buat masa ini, antara negeri yang belum lagi menandatangani akta berkenaan, namun berhasrat ke arah itu.

Terdahulu katanya, pihaknya telahpun mengadakan beberapa siri lawatan serta kunjung hormat seperti ke Pejabat Pengarah Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya.

Termasuk juga katanya ke Selangor, yang baharu sahaja diterima kemasukannya selepas negeri itu juga bertindak untuk menandatangani Akta 672 tersebut.

“Selain Terengganu, Kelantan dan Perak juga belum menandatangani akta ini. Sebab itu, hari ini kami datang Kedah nak dapatkan maklum balas bagaimana Kedah berjaya mengurus sisa pepejalnya dengan baik.

“InsyaAllah, maklumat yang kami perolehi akan dibawa balik ke Terengganu untuk diadakan perbincangan dengan lebih ‘detail’ dengan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” tegasnya mengetuai 22 ahli delegasi yang lain.

Sementara, ADUN Wakaf Mempelam itu juga turut teruja dengan program-program sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi melengkapkan perkhidmatan kepada rakyat Kedah.

“Cukup hebat dan sangat membanggakan. Maklumat ini menjadi petanda positif kepada Terengganu untuk menerima pakai akta ini nanti,” katanya lagi.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif, termasuk Yang Dipertua (YDP) PBT seluruh Terengganu.

Delegasi berkenaan disambut oleh rakan sejawatnya, Mejar (B) Mansor Zakaria da  Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Kedah, Mohd Fauzi Mustaffa dan wakil SWCorp serta PBT Kedah
HARAKAHDAILY 18/2/2025

- Advertisement -