
GEORGE TOWN: Pegawai Khas Sekretariat ADUN PAS Pulau Pinang, Steven Koh Tien Yew, menyindir sikap Pemuda PAN yang mencabar PAS untuk berdialog tetapi didakwa gagal bersuara dalam isu-isu penghinaan terhadap Islam.
Beliau mempersoalkan ke mana hilangnya pendirian Pemuda PAN dalam kontroversi melibatkan penggunaan kalimah Allah, status sijil halal, serta isu ham dan cheese yang mencetuskan keresahan umat Islam.
Bahkan, beliau turut membangkitkan cadangan penubuhan jawatan Menteri Hal Ehwal Bukan-Islam yang dianggap sebagai cabaran terhadap kedudukan Islam di Malaysia.
“Jangan katakan Pemuda PAS, dengan Dewan Himpunan Pendukung PAS pun belum tentu PAN layak berdialog kerana mereka sudah terbukti tidak mempertahankan syiar Islam di mahkamah.
“Jika Pemuda PAN ingin berdialog, mungkin lebih baik mereka berbincang dengan pasu bunga untuk menjaga maruah dan aib,” sinisnya.
Sebelum ini, Exco Pemuda PAN, Hafiz Roslan, mencabar Pemuda PAS berdialog secara terbuka mengenai isu-isu berkaitan kepentingan umat Islam di Malaysia, termasuk kestabilan ekonomi, pemerkasaan Bumiputera, serta pembaharuan sistem pendidikan Islam.
“Kami berharap Pemuda PAS akan menyahut cabaran ini secara profesional dan terbuka demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. – HARAKAHDAILY 18/2/2025











