
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah tiada rahsia dan bersedia berkongsi pengalaman demi kebaikan rakyat dan kemajuan negeri, demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria.
Menurutnya, di Kedah pelaksanaan pelupusan sisa pepejal telah dikendalikan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sejak negeri itu menandatangani Akta 672, kira-kira 15 tahun lalu.
“Kedah pengalamannya agak lama berkenaan isu pelupusan sisa pepejal ini dan setakat ini, kita dapat tandatangani dengan baik di bawah pengurusan SWCorp dan syarikat konsesi E-Idaman,” jelasnya kepada Harakahdaily ketika ditemui di Wisma Darul Aman, kelmarin.
Justeru, beliau amat berbesar hati apabila Kerajaan Negeri Terengganu memilih Kedah untuk mendengar taklimat berkenaan hal tersebut.
“Taklimat ni tiada rahsia, apa yang kita laksanakan kita kongsi dan beritahu. Kalau Terengganu boleh buat, dikira amat baik,” ujar beliau lagi.
Jelas Mansor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak mampu untuk mengurus sisa pepejal itu sendiri berikutan kewangan agak terhad.
Tetapi tegasnya, dengan Akta 672 ini, kerajaan negeri tidak perlu memperuntukan kewangan yang banyak sebaliknya akan dibantu melalui bantuan Kerajaan Persekutuan.
“Program sosial korporat (CSR) di bawah SWCorp pun banyak dilaksanakan. Seperti etika membuang sampah dan lain-lain berkaitan kebersihan.
“Program seumpama ini secara tidak langsung dapat membantu memberi kefahaman berkenaan kebersihan kepada orang awam,” tambah beliau.
Oleh itu terserahlah katanya, kepada Terengganu sama ada hendak mengikut jejak seperti mana yang dilakukan oleh Kedah atau sebaliknya.
Sementara, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil itu, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) antara yang terbaik dalam pelaksanaan pengurusan sisa pepejal ini. – HARAKAHDAILY 18/2/2025











