Kerajaan negeri tidak pinggir kaum minoriti di Kedah

Sultan Kedah dan Raja Mahkota serta Menteri Besar, bersama menggaul 'yin sang' yang melambangkan keharmonian bagi masyarakat Cina
- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan mandat yang diamanahkan kepadanya untuk mentadbir negeri, tidak hanya kepada rakyat Kedah beragama Islam sahaja, malah kepada semua kaum serta agama di negeri ini.

- Advertisement -

Malah tidak juga kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu untuk menjaga kebajikan ahli parti atau ahli rakan sekutu semata, sebaliknya menyeluruh tanpa batasan fahaman politik.

“Saya bertanggungjawab ke atas 2.2 juta rakyat negeri ini dan mengurus kesejahteraan untuk semua, tidak kira yang mengundi atau tidak mengundi Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya lalu.

“Amanah yang saya junjung ini bukan sahaja dipertanggungjawabkan ke atas diri saya di dunia sahaja, bahkan untuk dijawab di hadapan Allah SWT di akhirat kelak,” kata beliau.

Sanusi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Rumah Terbuka, Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Pekan Cina, malam tadi.

Justeru ujarnya, atas pegangan itu, beliau mengisytiharkan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’ sebagai slogan dasar kerajaan negeri bermula Mei 2020 hinggalah sekarang.

‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’ jelasnya, membawa maksud hala tuju serta komitmen kerajaan negeri yang diamanahkan kepada beliau serta rakan-rakan Exco dan pentadbiran.

Iaitu terangnya, untuk membawa kesejahteraan kepada seluruh lapisan masyarakat secara adil dan saksama tanpa mengira latar belakang.

“Kita tidak sekali-kali meminggirkan mana-mana kelompok minoriti sama ada dari segi kaum, agama, taraf hidup, pendidikan, ideologi politik mahupun perbezaan yang lain dalam menentukan sebarang dasar atau keputusan yang dibuat oleh kerajaan.
 
“Malah sentiasa berpegang pada prinsip bahawa semua rakyat negeri ini mempunyai hak sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang dan Perlembagaan, yang perlu dihormati dan diraikan,” tambah beliau.
 
Sementara, walaupun masyarakat Cina berketurunan Tionghua di Kedah hanya seramai 276,000 orang, namun katanya, hak dan kebajikan kepada kaum itu tidak pernah dikesampingkan.

Beliau juga turut menegaskan, sebagai hamba Tuhan, tiada pilihan untuk memilih kaum atau warna kulit, tetapi yang boleh dipilih adalah agama atau kepercayaan.
 
“Saya sendiri ada darah keturunan Cina dari sebelah ayah saya. Datuk saya berhijrah dari Tanah Besar China ke Tanah Melayu, dan memeluk agama Islam di sini,” katanya lagi.

Agama Islam juga tegas beliau, menegah ummatnya mendiskriminasi warna kulit, malah Islam juga tidak memaksa dalam beragama.

Di pejabatnya kata Sanusi, terdapat tiga pegawai dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal bukan-Melayu, termasuk seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu Wong Chia Tzen yang ditugaskan menjaga kebajikan orang bukan-Islam.

“Dalam menguruskan tanggungjawab ini, semua bergerak dalam satu pasukan, dan Alhamdulillah, di Kedah, semua kaum dapat hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
 
“Keharmonian yang dinikmati ini juga adalah barakah keadilan dan kesaksamaan dalam pemerintahan Tuanku Sultan Kedah, dan saya yakin kepatuhan serta taat setia rakyat terhadap Baginda tidak berbelah bagi,” tegasnya lagi.

Sanusi dalam pada itu, turut merafak sembah Tuanku Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, atas perkenan berangkat hadir ke majlis meraikan tersebut malam tadi.

Menjunjung kasih juga kepada Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama Tunku Puan Mahkota Kedah, Puan Nur Julie Ariff atas kesudian perkenan berangkat hadir sama.
 
Beliau juga mengharapkan negeri Kedah Darul Aman yang dicintai ini akan terus aman sejahtera dan dirahmati dengan lebih banyak kemajuan dan kejayaan pada masa akan datang.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali serta isteri, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Zuber Ahmad.

Juga Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Masyarakat Cina, Wong Chia Tzen, isteri Menteri Besar, Tok Puan Jusmalailani Jusoh dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain.

Selain juga disertai, Konsul General China di Pulau Pinang, Zhaou You Pin dan naibnya, Lui Li dan Presiden Dewan Himpunan Cina Kedah, Dato’ Cheng Lai Hock.

Majlis berkenaan juga turut diserikan dengan pertunjukkan kebudayaan kaum Cina. – HARAKAHDAILY 17/2/2025

- Advertisement -