
KOTA BHARU: Tahun ini 2025 merupakan tempoh bagi kerajaan negeri menilai semula dasar Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) yang mula diperkenalkan lima tahun lalu, 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada kediaman berdaya huni.
Beliau berkata, RMMK diperkenalkan pada 2015 dilihat semula setiap lima tahun bagi memastikan dasar itu terus sesuai dengan perkembangan ekonomi, sosio demografi dan keperluan.
“Dasar baharu ini menekankan pembangunan perumahan mampu milik, berkualiti serta berpandukan prinsip Islam, bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita komited dengan matlamat ‘Satu Keluarga, Satu Rumah’. Oleh itu, RMMK 2025 menetapkan syarat serta insentif yang lebih jelas memperkasa lagi pemilikan rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Penutup Expo Hartanah Kelantan (MAPEX) 2025 di Centre Atrium, KB Mall, di sini pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu mewakili Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud merasmikan ekspo perumahan dan hartanah Kelantan itu.
Pada tahun ini katanya sebanyak 2,000 unit hartanah bernilai RM900 juta ditawarkan, sedikit menurun berbanding 2,600 unit pada tahun lalu dengan nilai keseluruhan RM1.0 bilion.
Media sebelum ini melaporkan hasrat kerajaan negeri di bawah dasar perumahan negeri untuk mewujudkan satu ruang mengambil air sembahyang berasingan dengan tandas dan bilik air.
Kerajaan negeri juga menetapkan telah dasar rumah yang dibina mempunyai tiga bilik bagi memisahkan ruangan bagi pasangan suami isteri, bilik anak lelaki dan bilik bagi anak perempuan. – HARAKAHDAILY 17/2/2025











