
KOTA BHARU: Kerajaan negeri bakal memuktamadkan pelaksanaan garis panduan yang baru bagi mengadakan sukan Muay Thai selepas beberapa siri pertemuan dan perbincangan, kata Zamakhshari Muhamad.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat itu berkata, menjadi hasrat kerajaan negeri untuk melaksanakan sebarang aktiviti sukan yang tidak bercanggah syariat Islam.
Beliau berkata pertemuan dan perbincangan bagi mencapai hasrat itu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Mufti, Majlis Sukan Negara (MSN) termasuk Persatuan Muay Thai.
“Sebenarnya penganjuran Muay Thai ini sudah melepasi beberapa fasa untuk kita tambah baik garis panduan pelaksanaan, banyak pertemuan dan perbincangan diadakan bersama pihak terbabit.
“Besar harapan kita agar garis panduan baharu penganjuran sukan Muaythai ini dapat dipatuhi dan diikuti oleh pihak yang ingin menganjurkan sukan ini,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra itu menyaksikan edisi kelima Kejohanan Muay Thai T-Fight 2025 berlangsung di pekarangan Mydin Mall Tunjong di sini baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis itu Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Mohd Saipuddin Zakaria dan Presiden Muay Thai Kelantan, Anuar Rajib serta Ketua Marshall Muay Thai Malaysia, Mohd Ali Akbar.
Kerajaan negeri sebelum ini sudah mewartakan garis panduan baharu berhubung sukan bela diri itu untuk diperkasakan dan dibangunkan semula bagi melahirkan atlet bertaraf dunia.
Malah tokoh ulama seperti Mufti Kelantan, Dato’ Muhammad Shukri Mohamad dan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menolak, tidak bertepatan dengan syariat Islam kerana mencederakan lawan. HARAKAHDAILY 17/2/2025




















