
PADANG BESAR: Pengusaha harumanis di Chuping, di sini yang diketuai oleh Mohd Asri Yusof atau lebih dikenali sebagai Cikgu Asri, giat mengusahakan tanaman tersebut dengan meneroka teknologi baharu bagi meningkatkan hasil.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, inovasi ini membolehkan harumanis diperoleh lebih awal pada musim ini di Kampung Panggas, sekali gus memberi peluang kepada penggemar mangga premium itu menikmati hasil lebih awal berbanding kebiasaan.
“Tahniah kepada Cikgu Asri, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dan Jabatan Pertanian atas usaha ini. Pada penghujung Januari, buah harumanis sudah boleh didapati dengan rasa serta kualiti setanding dengan hasil pada bulan Mac.
“Apa yang dilaksanakan oleh koperasi membuktikan bahawa musim harumanis tidak terhad dari Mac hingga Jun sahaja, malah berpotensi dipanjangkan lagi dengan kerjasama penyelidik dari UniMAP, FAMA dan Jabatan Pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Perasmian Pembukaan Musim Harumanis Keluaran 2025 di Pusat Jualan YA Harumanis, Panggas, di sini semalam.
Menurut Mohd Shukri, kejayaan ini membuktikan bahawa harumanis tidak terhad pada musimnya sahaja dan berpotensi untuk dikeluarkan lebih awal.
Selain itu, pengeluaran Harumanis di luar musim asal tetap mengekalkan kualiti tinggi serta mampu meningkatkan pendapatan petani.
“Ini membolehkan Harumanis dikeluarkan sepanjang tahun, sekali gus mengekalkan statusnya sebagai ikon negeri Perlis. Saya yakin bahawa kualiti harumanis Perlis adalah berbeza dengan yang ditanam di negeri lain.
“Berdasarkan maklumat rakan-rakan dan perbandingan dengan Kedah, rasa dan kualiti harumanis Perlis tetap sama walaupun dihasilkan di luar musim Mac hingga Jun,” ujarnya.
Tambah beliau, peningkatan pengeluaran harumanis akan memberi nilai tambah kepada para pengusaha mangga tersebut.
“Pengkaji dari UniMAP berupaya mengkaji lebih lanjut agar harumanis dapat dikeluarkan sepanjang masa. Hasil yang lebih stabil akan membantu meningkatkan pendapatan para petani di negeri ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 12/2/2025




















