Hampir 10 tahun kaji tingkat keluaran awal harumanis

Mohd Asri menunjukkan harumanis gred premium yang dihasilkan
- Advertisement -

PADANG BESAR: Kajian selama sembilan tahun akhirnya berjaya meningkatkan pengeluaran awal harumanis, dengan musim pengeluarannya bermula lebih awal pada 20 Januari tahun ini.

- Advertisement -

Pengerusi Koperasi YA Harumanis, Mohd Asri Yusuf atau lebih dikenali sebagai Cikgu Asri berkata, kajian ini memberi tumpuan kepada faktor-faktor mempengaruhi pembungaan dan penghasilan buah, termasuk keperluan kalium (K) dalam memastikan kemanisan buah.

“Hasil kajian menunjukkan harumanis mengandungi 0.63 peratus unsur kalium (K) bagi setiap 100 gram, berbanding pelam sala (0.045 peratus) dan pelam telur (0.035 peratus).

“Buah yang masam mempunyai kandungan kalium yang rendah, jadi untuk harumanis, unsur K perlu tinggi. Setiap pokok juga memerlukan 100 liter air sehari bagi menghasilkan jumlah K yang mencukupi,” katanya.

Beliau mengemukakan demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pembukaan Musim Harumanis Keluaran 2025 di Pusat Jualan YA Harumanis, Panggas, di sini semalam.

Koperasi YA Harumanis dianggotai oleh 192 peserta, termasuk 80 ahli koperasi penuh dan 118 ahli bersekutu, yang menguruskan 600 relung tanah dengan 27,000 pokok harumanis di Zon A, Perlis Utara.

Kawasan ini dikenali sebagai tanah pH alkali yang sesuai untuk penghasilan buah berkualiti tinggi dan difahamkan hasil musim ini dianggarkan mencecah 200 metrik tan, meningkat daripada 158 metrik tan tahun lalu.

Penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Madya Dr Farizul Hafiz Kasim berkata, kejayaan mempercepatkan musim pengeluaran harumanis ini adalah hasil daripada penyelidikan yang dijalankan sejak beberapa tahun lalu.

“Ini kali pertama kita awalkan musim pengeluaran harumanis bermula Januari hingga Jun. Dua tahun lepas, kita telah menjalankan ujian di tiga plot percubaan dan hasilnya sangat memberangsangkan.

“Tahun ini, kita tambah lagi plot, dan inilah hasilnya. Dengan kejayaan ini, lebih ramai peladang dijangka akan menggunakan teknologi ini,” katanya.

Prof Madya Dr Farizul terlibat dalam penyelidikan khas berkaitan harumanis, yang bertujuan memastikan peningkatan hasil dan kualiti buah melalui pendekatan saintifik. – HARAKAHDAILY 12/2/2025

- Advertisement -