
KOTA BHARU: Seramai 879 penghulu mukim termasuk penghulu tanpa mukim peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen membabitkan pelbagai bangsa dan agama, menerima watikah pelantikan semalam.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pengiktirafan itu merupakan simbol terhadap tugas dan amanah diberikan kerajaan negeri perlu dilaksanakan dengan baik dan telus.
Beliau berkata, jawatan tersebut menjadi ‘mata dan telinga’ bagi kerajaan negeri melaksanakan mandat rakyat apatah lagi menjadi model kepada rakyat untuk terus memilih PAS dan Perikatan Nasional.
“Maknanya kita sudah menerima amanah ini yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah dan kita mewakili jemaah dalam negeri menjadikan Islam sebagai junjungan kita tunjuk contoh tauladan yang baik.
“Kita mesti memimpin bukan sahaja rakyat Kelantan, tetapi seluruh rakyat Malaysia, tiada yang paling baik melainkan kita paling baik untuk rakyat berikan kepercayaan memerintah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pimpinan pada Majlis Penyampaian Watikan Penghulu Kelantan 2025 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa dekat sini.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah; Pengarah Urus Setia Pembangunan Penghulu Kelantan, Zulkifli Mamat dan ADUN Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin.
Mohamed Fadzli yang juga ADUN Temangan berkata, menjelang 2025 kerajaan negeri mahu memperkasakan prinsip utama iaitu Ubudiyah, Masuliyah dan Itqan (UMI) dalam kalangan pimpinan akar umbi itu.
Beliau berkata, UMI diperkenalkan kerajaan negeri sejak 1990 sehingga kini, mahu memastikan teras dalam dasar ‘Membangun Bersama Islam’ (MBI) itu dihadam dan difahami dengan sebaik mungkin.
Bahkan sehingga hari ini pihaknya mempunyai agensi seperti Institut Latihan Darul Naim (ILDAN), Intitut Pemikiran Tok Guru (IPTG) dan Yayasan Amanah Tok Kenali untuk melaksanakan agenda itu.
“Mungkin daripada 800 lebih ini sudah ada telah mengikuti kursus UMI ini tetapi kita nak pastikan bahawa semua penghulu kita mesti faham apa itu konsep UMI, itulah prinsip utama kepada MBI.
“Tahun ini penghulu semua iltizam komited untuk bersama-sama kerajaan negeri bagi kita mengembangkan lagi dasar ini melalui pendekatan Penghayatan MBI (PMBI),” katanya. – HARAKAHDAILY 3/2/2025




















