BRICS: Apa pendirian Malaysia selepas ancaman Trump

Dato' Seri Hamzah Zainudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan pendirian selepas beberapa negara rantau Asia Tenggara menyertai kesatuan ekonomi dipelopori Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan (BRICS).

- Advertisement -

Selain itu Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berkata, langkah itu perlu mengambil kira ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap keputusan diumumkan BRICS baru-baru ini.

Malah menurutnya, Malaysia yang dilantik bagi mempengerusikan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) perlu mengemudi krisis yang membabitkan kuasa besar AS, Russia dan China dalam isu itu.

“Bagaimana Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, akan mengimbangi hubungan ASEAN dengan BRICS sambil mempertimbangkan ancaman ekonomi dari Amerika Syarikat di bawah Presiden Trump,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dalam pada itu Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Mohamad Hasan berkata kedudukan Malaysia sebagai negara mengamalkan dasar ekonomi terbuka dan bergantung perdagangan antarabangsa terus dikekalkan.

Bagaimanapun mengenai kedudukan Malaysia dalam BRICS kata Ahli Parlimen Rembau itu, negara-negara anggota masih menilai sejauh mana komitmen negara selepas diterima menyertai gabungan tersebut.

“Sebagai anggota baru BRICS, rakan-rakan dalam ini mereka akan melihat komitmen kita sejauh mana Malaysia benar-benar mahu menganggotai BRICS kerana buat kepada negara yang baru,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2025

- Advertisement -