
KUALA LUMPUR: Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) menggesa kerajaan memperluaskan penubuhan Sekolah Model Khas Komprehensif K9 dan K11 bagi menangani isu keciciran pelajar, terutama di kawasan berisiko tinggi.
Selain itu, beliau meminta statistik terkini jumlah pelajar tercicir di semua peringkat pendidikan serta anjakan baharu dalam kurikulum persekolahan 2027 untuk memastikan fenomena keciciran tidak berterusan.
“Setakat ini berapa jumlah kes pelajar tercicir di Sekolah Model Khas Komprehensif K9 dan K11 di seluruh negara?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata setakat ini kementerian mempunyai 28 buah Sekolah Model Khas Komprehensif K9, manakala dua buah sekolah K11.
“Kementerian bercadang untuk memperluaskan bilangan sekolah K9 sebanyak tujuh sekolah dengan lokasi dan nama sekolah akan dimuktamadkan dalam masa yang terdekat,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2025











