
KUALA LUMPUR: Penggunaan vape dalam kalangan pelajar terus menjadi kebimbangan, dengan jumlah terkini masih belum dinyatakan secara rasmi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Sehubungan itu, Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) meminta KPM menyatakan jumlah pelajar yang terlibat dengan vape serta langkah yang diambil untuk menangani isu ini.
“Mengikut kajian yang dibuat, 14.9 peratus pelajar berumur 13 hingga 17 tahun terlibat dengan vape. Jadi, saya nak tahu daripada kementerian, apakah jumlah terkini pelajar yang terlibat dengan vape ini?
“Selain itu, baru-baru ini Magic Mushroom disahkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai ganja sintetik yang diproses dalam bentuk cecair dan digunakan menerusi rokok elektronik atau vape. Adakah pihak KPM turut menggunakan agensi seperti AADK untuk membendung gejala vape di sekolah?
“Juga, adakah vape ini berpunca daripada guru-guru yang mengamalkan penggunaan vape di sekolah?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam soalan asal, Roslan meminta Menteri Pendidikan menyatakan sejauh mana tindakan advokasi telah dijalankan oleh pihak KPM bagi menangani masalah ketagihan rokok elektronik dalam kalangan pelajar sekolah. – HARAKHADAILY 4/2/2025











