Kerajaan perlu bersikap terbuka menerima teguran rakyat

- Advertisement -

KERAJAAN yang adil adalah kerajaan yang melayan rakyatnya dengan saksama, berpandukan prinsip agama dan keadilan yang sebenar. Jika sebuah kerajaan teguh berpegang kepada nilai-nilai kebenaran, nescaya Allah akan menjaga dan melindunginya. Tetapi jika kezaliman berleluasa, ketahuilah bahawa kehancuran pasti menanti, cuma bila dan bagaimana caranya itu tetap menjadi rahsia Allah. Andai kita tahu terlebih dahulu, sudah pasti kita akan berusaha mengelaknya.

Begitulah juga dengan kematian. Tiada siapa yang tahu bila ajal akan menjemput. Jika manusia diberi tahu waktu kematiannya, sudah tentu semua akan segera berubah menjadi baik. Tetapi Allah menetapkan hidup ini dengan pelbagai rahsia, supaya kita sentiasa mengingati-Nya dan bersiap sedia. Inilah antara kehebatan aturan Ilahi, menjadikan manusia sentiasa bergantung harap kepada-Nya.

Sebuah negara yang ingin kekal dan makmur perlu berpaut kepada asas agama. Apabila penyalahgunaan kuasa semakin berleluasa, amanah dikhianati, rasuah menjadi budaya, dan maksiat merajalela, maka kehancuran hanyalah menunggu masa. Sebab itu, menjadi tanggungjawab kita untuk menegur sebarang kepincangan yang bertentangan dengan agama.

- Advertisement -

Sebuah kerajaan yang benar-benar berjiwa rakyat sepatutnya terbuka untuk menerima teguran. Meskipun ada teguran yang mungkin tidak tepat, ruang untuk rakyat menyuarakan pendapat tetap perlu ada. Namun, jika setiap saluran dihalang, kebebasan bersuara dikawal ketat, dan platform seperti TikTok disekat, maka di mana hak rakyat untuk menyuarakan kebenaran? Sebuah negara yang adil tidak akan menutup ruang suara rakyat, tetapi akan mendengar dan menimbang dengan hikmah, kerana dalam suara rakyat itu terkandung isyarat masa depan negara.

Sayyidina Umar al-Khattab memerintah dengan penuh keterbukaan dan keadilan. Setiap tahun, beliau mengarahkan para gabenor serta menteri-menterinya menunaikan ibadah haji di Makkah, bukan sekadar untuk menunaikan rukun Islam, tetapi sebagai satu kaedah untuk rakyat menyampaikan aduan secara langsung kepada beliau. Selama sepuluh tahun memimpin, beliau memastikan setiap pemimpin di bawahnya boleh dipertanggungjawabkan.

Di Arafah, beliau menghimpunkan para gabenornya di hadapan khalayak ramai dan bertanya, “Hari ini, siapa yang mahu mengadu, mengkritik, atau menyampaikan sesuatu mengenai gabenor masing-masing, silakan.” Inilah sebabnya gabenor-gabenornya tidak berani melakukan penyelewengan. Mereka tahu, rakyat diberikan kebebasan untuk menegur dan Sayyidina Umar tidak akan berkompromi dalam hal keadilan.

Bahkan, sepanjang pemerintahannya, beliau sentiasa menghantar orang untuk menyelidik keadaan pentadbiran setiap gabenor. Tiada ruang untuk menutup kelemahan kerana pintu aduan sentiasa terbuka. Begitulah cara Islam memimpin, tidak menutup mulut rakyat, tetapi memberi peluang untuk bersuara. Cuma, teguran itu biarlah berasaskan kebenaran, bukan fitnah. Jika ada fitnah, kerajaan berhak mengambil tindakan. Tetapi jika rakyat bertanya, “Mengapa harga barang naik? Mengapa beras tempatan tiada? Mengapa telur kurang di pasaran?” maka ini adalah hak rakyat. Soalan sebegini mesti dijawab dengan penjelasan yang jelas dan telus.

Masalahnya, sebelum menjadi kerajaan, janji yang ditabur seolah-olah semuanya akan berubah. Harga barang dijanjikan akan turun, kos sara hidup dikatakan akan lebih mudah. Namun, apabila berkuasa, lain pula yang berlaku. Yang pasti turun hanyalah harga buah kelapa, itupun bukan kerana janji sesiapa, tetapi kerana hukum alam.

Bukan hendak menyindir sesiapa, tetapi begitulah hakikatnya sebuah kerajaan. Bahkan, pada zaman Nabi Muhammad sendiri, rakyat diberikan ruang untuk menyampaikan aduan mereka secara berdepan. Jika kita benar-benar mahu membawa perubahan atas nama Islam, maka ketelusan, keadilan, dan keterbukaan mesti menjadi asas. Tidak boleh hanya melaungkan slogan perubahan, tetapi apabila diuji dengan kuasa, menjadi seperti pemerintah yang dahulu. Islam mengajar kepimpinan yang bertanggungjawab, bukan sekadar retorik di pentas ceramah.

Sayyidina Umar al-Khattab, ketika menjadi khalifah, pernah berkata di hadapan rakyatnya, “Jika aku melakukan kesilapan, jika aku menyimpang daripada ajaran agama, betulkanlah aku. Jangan biarkan aku terus begitu.” Beliau tidak meminta pujian, tidak mahu disanjung membuta tuli, tetapi menghendaki rakyatnya menjadi mata dan telinga dalam memastikan keadilan terus ditegakkan.

Lalu, seorang lelaki bangun di dalam masjid, mengangkat pedangnya dan berkata, “Wahai Umar! Jika engkau melanggar perintah Allah dan menyimpang daripada agama, pedang inilah yang akan meluruskan engkau.” Sayyidina Umar tidak melenting, tidak mencari alasan untuk menekan lelaki itu, sebaliknya beliau mengangkat tangan dan memuji, “Alhamdulillah, masih ada orang yang berani membetulkan aku dengan pedang.”

Beginilah sifat pemimpin dalam Islam. Mereka tidak takut kepada teguran rakyat kerana mereka memimpin bukan atas dasar kuasa semata-mata, tetapi dengan rasa tanggungjawab kepada Allah. Jika hari ini perkara sebegini berlaku, bayangkan bagaimana reaksi seorang pemimpin? Mungkin soalan pertama yang akan keluar ialah, “Kamu duduk di mana? MyKad nombor berapa?” dan barangkali tidak pulang ke rumah selepas itu.

Tetapi Sayyidina Umar, seorang pemimpin yang terkenal dengan keberanian dan keadilannya, tidak gentar dengan teguran. Bahkan, beliau tahu bahawa seorang pemimpin yang dikelilingi oleh rakyat yang hanya tahu mengampu dan membodek adalah pemimpin yang sedang menuju kehancuran. Hanya pemimpin yang benar-benar jujur akan menghargai teguran, walaupun teguran itu datang dalam bentuk pedang.

Pada suatu ketika, Sayyidina Umar bin al-Khattab melihat bahawa masyarakat mula menaikkan kadar mas kahwin sehingga membebankan pihak lelaki. Maka, beliau mengisytiharkan di masjid, “Mulai hari ini, jangan letak mas kahwin terlalu tinggi.” Beliau menetapkan satu had tertentu. 

Setelah Umar keluar dari masjid, seorang wanita berani menyekatnya di pintu dan memegang bajunya. Dengan lantang, dia bertanya, “Wahai Umar, mengapa engkau menetapkan syarat bahawa mas kahwin tidak boleh tinggi? Bukankah Allah telah menyebut dalam al-Quran bahawa seorang lelaki boleh memberikan mahar yang banyak kepada isterinya?”

Wanita itu berhujah dengan dalil dari kitab suci, menunjukkan bahawa tiada batasan jumlah dalam pemberian mahar. Mendengar kata-katanya, Umar terdiam sejenak. Beliau menyedari kebenaran hujah tersebut dan segera menarik kembali ketetapan yang dibuatnya.

Beliau, seorang khalifah yang tegas dan dihormati, tidak berasa tercabar apabila ditegur oleh seorang wanita biasa. Sebaliknya, beliau mengakui kesilapannya kerana mendahului ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah.

Beginilah seorang pemimpin dalam Islam. Tidak malu mengakui kesilapan, tidak sombong apabila ditegur, malah menghormati ilmu walaupun ia datang daripada rakyat biasa. Jika kita lihat keadaan hari ini, berapa ramai pemimpin yang bersedia untuk menarik balik keputusan setelah ditegur oleh rakyat? Berapa ramai yang sanggup mengakui, “Ada orang yang lebih tahu daripada aku” tanpa merasakan kedudukan mereka tergugat?

Sayyidina Umar telah menunjukkan contoh kepimpinan yang adil, terbuka, dan sentiasa merujuk kepada wahyu Allah dalam setiap keputusan. Inilah ciri-ciri pemimpin yang sebenar, bukan hanya mengeluarkan arahan tetapi bersedia untuk diperbetulkan apabila tersilap.

Pada suatu hari, Sayyidina Umar bin al-Khattab berdiri di hadapan rakyatnya dan mengumumkan, “Hari ini, aku ingin mengisytiharkan satu peraturan baru.” Sebelum sempat beliau meneruskan, seorang lelaki tiba-tiba bangun dan berkata, “Sebelum kamu mengisytiharkan sesuatu dan meminta kami patuh, kamu perlu menjawab satu soalan dahulu.”

Sayyidina Umar terkejut tetapi tetap tenang dan bertanya, “Apa soalanmu?” Lelaki itu lalu berkata, “Aku melihat kamu memakai jubah yang cukup sempurna saiznya. Dari mana kamu mendapatkan kain itu? Adakah kamu mengambil lebih daripada yang sepatutnya?”

Pada waktu itu, selepas satu peperangan, setiap orang menerima bahagian kain dengan ukuran yang sama. Tetapi Umar berbadan tinggi dan tegap, dan kain yang diperuntukkan itu sebenarnya tidak cukup untuk dibuat jubah sepenuhnya. Lelaki itu melihat keadaan tersebut dan berani menyoal, kerana bagi mereka, seorang pemimpin tidak boleh mengambil hak lebih daripada rakyat.

Sayyidina Umar lalu berpaling kepada anaknya, Abdullah bin Umar, dan berkata, “Jawablah untuk mereka.” Abdullah pun menjelaskan, “Benar, kain yang diperuntukkan kepada ayah memang tidak cukup untuk saiz tubuhnya. Jadi, aku memberikan bahagianku kepada ayah, lalu ayah mencantumkan kain itu dengan kainnya sendiri. Itulah yang membolehkan jubahnya menjadi sempurna.”

Mendengar jawapan itu, lelaki tadi mengangguk dan berkata, “Baiklah, sekarang aku puas hati. Aku tahu dari mana kain itu datang. Silakan, isytiharkan peraturanmu, kami akan mendengar dan patuh.”

Inilah contoh kepimpinan Islam yang sebenar, terbuka kepada pertanyaan, tidak marah apabila ditanya, dan bersedia menjawab dengan jujur. Sayyidina Umar tidak menganggap soalan itu sebagai satu penghinaan, tetapi sebagai satu tanggungjawab yang perlu dijelaskan kepada rakyatnya.

Berapa ramai pemimpin yang bersedia menjawab persoalan rakyat dengan telus? Sebaliknya, ramai yang pantas bertindak dengan menekan, menangkap, atau menutup suara rakyat. Mereka melaungkan slogan reformasi, tetapi apabila berkuasa, segala janji dilupakan.

Seorang pemimpin yang tidak menepati janji adalah seorang pengkhianat. Nabi Muhammad pernah bersabda bahawa antara tanda-tanda orang munafik ialah apabila dia berjanji, dia mungkir. Inilah sifat yang perlu kita jauhi dalam kepimpinan. Jangan hanya bercakap tentang perubahan, tetapi apabila tiba masanya untuk bertindak, semua janji dilanggar tanpa rasa bersalah.

DATO’ SRI AMAR D’RAJA MOHD AMAR ABDULLAH
Naib Presiden PAS – HARAKAHDAILY 3/2/2025

- Advertisement -