Sawit: Beri perhatian serius guna tenaga kerja tempatan

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu), menyeru kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu galakan tenaga kerja tempatan dalam industri sawit serta memperkukuh mekanisasi sektor tersebut.

- Advertisement -

Bakri mempersoalkan keberkesanan peranan dua agensi utama, iaitu IMPAC dan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP), yang masing-masing diberi mandat untuk melatih tenaga kerja tempatan dan meningkatkan mekanisasi dalam industri. 

“IMPAC (Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia) berperanan melahirkan tenaga tempatan dalam industri sawit, tetapi sejauh mana keberkesanannya? Manakala MARCOP yang telah beroperasi selama empat tahun dengan peruntukan RM30 juta masih belum menunjukkan impak besar dalam memodenkan industri dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Bakri turut mencadangkan pemberian insentif kepada tenaga kerja tempatan yang mengendalikan mekanisasi dalam ladang sawit sebagai usaha menggantikan pekerja asing. 

“Sime Darby dan KLK (Kuala Lumpur Kepong Bhd) telah mula menggunakan mekanisasi, tetapi pekerja asing tetap yang mengoperasikannya. Mengapa tidak beri insentif kepada tenaga kerja tempatan untuk mengambil peranan tersebut?” cadangnya. 

Bakri turut menekankan keperluan menangani isu usia pokok kelapa sawit yang semakin tua dan kadar penanaman semula yang rendah, yang menurutnya menjejaskan produktiviti hasil sawit negara. 

“Unjuran mengatakan bahawa kita punya FFB (Fresh Fruit Bunch) tan per hektar akan dapat 19.05 tan. Tapi saya kata (dalam persidangan lepas) tidak akan dapat 17 (tan). Ternyata kita dapat 17 (tan). Dan faktor ni perlu dilihat sebenarnya ialah kerana aging palm (penuaan pokok) kita bertambah. Kerana kita punya replanting rate (kadar penanaman semula) kita, saya ingat sekitar 2 (hingga) 3 peratus, sedangkan aging palm kita naik 5 hingga 6 peratus setahun.

“Jadi kalau ni tidak diatasi, saya khuatir masalah. Apakah tindakan daripada kerajaan untuk mengatasi tiga-tiga masalah ni?” soalnya.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam jawapannya berkata, Kerajaan telah melaksanakan inisiatif melatih pekerja tempatan dalam sektor perladangan kelapa sawit dengan memfokuskan kerja-kerja tertentu yang sesuai untuk mereka, namun cabaran pekerjaan 3D kekal menjadi halangan.

Menurutnya, mekanisasi ladang telah membantu meningkatkan kecekapan pekerja, namun inovasi yang kurang praktikal menyebabkan beberapa usaha tidak dapat dikomersialkan.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Edwin Banta (GPS-Selangau) minta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan bagaimana Kementerian menangani isu pekerja asing dalam sektor perladangan, termasuk langkah-langkah yang diambil untuk memastikan hak-hak pekerja dilindungi, meningkatkan syaratsyarat pekerjaan dan menggalakkan penggunaan tenaga kerja tempatan dalam sektor ini. – HARAKAHDAILY 4/2/2025

- Advertisement -