e-Agihan julang MAIK johan AISAK kategori Inovasi ICT

Nazran (kiri) menyerahkan hadiah kepada Muhamad Rasani (kanan) setelah MAIK diumumkan sebagai johan AISAK bagi kategori Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2024.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terus melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai johan dalam Anugerah Inovasi Sektor Awam Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2024 bagi kategori Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

- Advertisement -

Pengiktirafan tersebut diumumkan dalam Majlis Sambutan Hari Inovasi Sektor Awam Peringkat Negeri Kelantan 2024 (AISAK) yang berlangsung di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad kepada Setiausaha MAIK, Muhamad Rasani Ramli.

Dengan kemenangan itu MAIK telah membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil penghargaan, serta wang tunai sebanyak RM4,000.

Majlis turut dihadiri Pegawai Teknologi Maklumat MAIK, Marziati  Yusoff, Pegawai Pengurusan Am MAIK, Nor Amira Mastura  Awang dan Pegawai Komunikasi Korporat MAIK, Muhamad Firdaus Mat Rahim.

Sebanyak 17 penyertaan telah diterima bagi kategori Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi pada tahun ini.

Pasukan pembentangan inovasi MAIK kali ini diketuai Pegawai Komunikasi Korporat MAIK, Muhamad Firdaus Mat Rahim, bersama ahli pasukan lain iaitu Muhamad Adrisam Mohd Azmi, Mohd Arief Syah Mat Yazik, Asma Mat Salleh, Nik Ishafudin Nik Othman@ Daud dan Rosmiza Kasim.

Cetusan idea inovasi e-Agihan ini lahir daripada keprihatinan Tengku Temenggong Kelantan, selaku Yang Dipertua MAIK, terhadap keperluan golongan asnaf.

Ia bermula dengan pelancaran Sistem Bantuan Prihatin MAIK secara atas talian ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan semasa pandemik COVID-19.

Pendigitalan permohonan bantuan zakat MAIK melalui e-Agihan bukan sahaja memudahkan proses permohonan, semakan dan kelulusan bantuan secara dalam talian, malah mempercepatkan tempoh kelulusan serta mengurangkan penggunaan kertas.

Selain itu, sistem ini membolehkan pemohon, sanak saudara, jiran tetangga serta agensi berkaitan menjadi pemudah cara dalam urusan bantuan, sekali gus menjadikannya lebih telus dan efisien.

Melalui sistem ini, beberapa proses manual dipendekkan bagi memastikan bantuan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.

Pelaporan siasatan secara atas talian juga membolehkan penyiasat MAIK menjalankan tugas dengan lebih cekap.

Menyedari kesulitan yang dihadapi pemohon untuk hadir ke pejabat bagi membuat permohonan, MAIK telah memperkenalkan sistem e-Agihan pada tahun 2021 untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pemohon.

Sistem ini dibangunkan secara ‘in-house’ oleh MAIK. – HARAKAHDAILY 4/2/2025

- Advertisement -