
PASIR PUTEH: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud telah menyalurkan sumbangan kepada Surau At-Taqwa Wakaf Raja dekat sini.
Sumbangan berupa cek itu disampaikan melalui ADUN Gaal, Mohd Rodzi Ja’afar, kepada Pengerusi Surau At-Taqwa, Ustaz Muhamad Asri Yusof.
Sumbangan tersebut bertujuan untuk membantu pengurusan dan pembangunan surau berkenaan, sekali gus menyokong pelaksanaan aktiviti keagamaan dan meningkatkan kemudahan ibadah untuk penduduk setempat.
Mohd Rodzi berkata, sumbangan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuhkan institusi agama dan memperkasa peranan surau sebagai pusat komuniti.
“Program keagamaan yang sering dianjurkan oleh kerajaan negeri membuktikan pentadbirannya mengutamakan soal ketakwaan dan mengingatkan rakyatnya supaya tekun menunaikan ibadat terutama solat yang menjadi tiang agama.
“Kerana itu program Membina Generasi Solat sentiasa diadakan setiap tahun khususnya di kalangan anak-anak untuk mengingatkan mereka tentang kewajipan ibadat tersebut,” katanya pada majlis penyampaian berkenaan.
Sementara itu, Ustaz Asri melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan negeri yang menyumbang peruntukan untuk meningkatkan prasarana surau berkenaan.
Beliau berharap sokongan ini akan memberikan manfaat besar kepada masyarakat sekitar Wakaf Raja.
“Sumbangan ini menggambarkan kesungguhan Kerajaan Kelantan dalam mendukung agenda pembangunan Islam, selaras dengan dasar ‘Membangun Bersama Islam’ yang menjadi tunjang pentadbiran negeri,” katanya.
Sementara itu pada majlis berasingan pula, Rodzi telah merasmikan program Ceramah Israk Mikraj dan Khatam Al-Quran anjuran Muslimat DUN Gaal di Kampung Bukit Awang dekat sini.
Program Kelas Al Quran Siti Fatimah itu disertai masyarakat pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak.
Program ini bertujuan menyemarakkan penghayatan terhadap peristiwa Israk dan Mikraj di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Rodzi ketika berucap pada majlis berkenaan menegaskan pentingnya memanfaatkan masjid dan aktiviti keagamaan sebagai platform untuk memperkukuhkan ukhuwah serta meningkatkan kefahaman agama. – HARAKAHDAILY 28/1/2025





















