Khatan Nusantara bantu selesai tuntutan agama

Dr Aliakbar Gulasan menyemburkan air kepada kanak-kanak yang terlibat dengan program berkhatan.
- Advertisement -

KOTA KINABALU: “Program Khatan Nusantara meletakkan matlamat membantu masyarakat menyelesaikan tuntutan agama dengan berkhatan,” kata Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.

- Advertisement -

Menurut beliau, khatan percuma ini dapat memberi peluang kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk mengkhatankan anak mereka kerana kos berkhatan pada masa kini sudah menjangkau lebih RM150.

“Program tahunan ini juga dijalankan supaya semua pihak terutama NGO menggembleng tenaga dalam membantu masyarakat.

“Saya berharap, pihak kerajaan dapat memberikan subsidi khas kepada mereka yang kurang berkemampuan kerana kos berkhatan yang semakin meningkat.

“Pihak-pihak berkemampuan seperti masjid dan surau sewajarnya menjadikan program khatan ini sebagai program yang penting terhadap ahli kariah,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut di Kampung Gentisan, di sini kelmarin.

Program anjuran Biro Kesihatan PAS negeri dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan NGO-NGO telah membantu hampir 500 orang kanak-kanak berkhatan di beberapa kawasan seluruh Sabah.

Sementara itu di Putatan, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Afifi Saifuddin berkongsi manfaat berkhatan iaitu boleh mencegah jangkitan kuman bakteria dan penyakit bawaan seks seperti HIV dan syphlis.

Menurut beliau, bahagian sulit sangat mudah dibersihkan sekiranya sudah berkhatan.

“Khatan juga boleh membantu dalam masalah ejakulasi pramatang (premature ejaculation) kerana sebahagian kulit yang sensitif sudah dikurangkan (dibuang).

“Antara komplikasi yang biasa berlaku adalah pendarahan dan jangkitan kuman, jadi sekiranya berlaku sebarang komplikasi, ibu bapa disarankan membawa semula anak datang ke klinik tempat berkhatan dibuat atau rujuk semula ke klinik atau hospital yang berdekatan,” pesan Dr Afifi yang juga merupakan doktor kesihatan bertauliah. – HARAKAHDAILY 27/1/2025

- Advertisement -