
KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita telah melancarkan fasa kedua bagi projek Emas Untuk Palestin, hari ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Nor Asilah Mohamed Zin berkata, program itu diteruskan selepas fasa pertama berakhir 31 Januari ini.
Beliau berkata, Majlis Perundingan Wanita diberi amanah bagi mengalas tanggungjawab tersebut bagi menyatakan solidariti perjuangan rakyat serta pembebasan Masjid al Aqsa.
“Ini adalah salah satu inisiatif yang sesuai situasi terkini di Palestin di samping mengumpulkan sumbangan dan bantuan sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin.
“Projek pengumpulan dana emas untuk Palestin siri kedua kembali lagi, bagi fasa pertama yang telah berlangsung bermula pada 1 November 202 pada 31 Januari, Jumaat ini,” katanya.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan itu mewakili Exconya, Rohani Ibrahim bagi mempengerusikan Mesyuarat Emas Untuk Palestin di Kompleks Kota Darulnaim, di sini.
Turut hadir pada mesyuarat pertama tahun 2025 itu ialah Pengarah Urus Setia, Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (UKEKWA), Ilvira Mohd Dasuki.
Kerajaan negeri sebelum ini melancarkan Projek ‘Emas Untuk Palestin’ khusus bagi golongan wanita di Kelantan untuk mengumpulkan dana bagi membantu rakyat Palestin berhadapan kekejaman Israel.
Usaha itu diterjemahkan sempena sambutan Hari Sayyidatina Khadijah tahun lalu apabila sebanyak 592.59 gram barangan kemas cincin, gelang dan rantai emas berjaya dikumpul bernilai kira-kira RM238,000.
Disamping wang tunai sebanyak RM23,643 dikumpulkan melalui projek Emas Untuk Palestin untuk bersolidariti bersama saudara seagama di Palestin yang dibunuh dan dizalimi dengan kejam oleh Israel. – HARAKAHDAILY 27/1/2025











