
CUTI persekolahan ketika ini adalah masa terbaik ‘makan angin’ dan jelajah Kedah sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
Pelbagai tempat menarik boleh dikunjungi bermula dari utara Kedah hinggalah ke selatannya, sama ada tempat rekreasi, membeli-belah, menjamu selera dan lain-lain.
Kalau pengunjung masih tidak tahu hendak ke mana, bolehlah datang ke ibu negeri Kedah iaitu Bandar Raya Alor Setar, yang menawarkan pelbagai pengalaman menarik yang boleh dibawa pulang.
Melalui program ‘Mai Singgah Alor Setar Lagi’ yang dikendalikan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), beberapa tarikan menarik disediakan kepada pengunjung.
Antaranya Rumah Kayu Tradisional yang terletak berhampiran di Medan Seni, Dataran Medan Bandar, di bandaraya itu.
Ia merupakan satu tarikan baharu khususnya kepada pengunjung yang ingin mengenali seni binaan rumah kayu.
Rumah Kayu ini yang dibuka setiap hari, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang dan pengunjung boleh berurusan melalui Pusat Penerangan Pelancongan Alor Setar (PPPAS) yang terletak berhampiran Dataran Medan Bandar tersebut.
Selain itu, kepada pengunjung yang ingin merakamkan kenangan indah di rumah tersebut sambil memperagakan busana Melayu Tradisional, PPPAS juga menyediakan khidmat sewaan pakaian dengan harga berpatutan.
Rumah Kayu Tradisional yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin, pada 18 Januari lalu, mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan serta menelan kos hampir RM25,000.
Kalau sudah puas, bergambar di situ, pengunjung bolehlah melanjutkan jelajah Bandaraya Alor Setar ke lokasi lain pula.
Kita ada Masjid Zahir, Balai Nobat, Balai Besar, Muzium DiRaja, Rumah Merdeka dan Rumah Kelahiran mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Selain itu jangan lupa membeli-belah di Pekan Rabu, kemudian naik ke Menara Alor Setar, jamu-jamu mata di Aman Central iaitu kompleks perniagaan yang diusahakan ketika Al-Marhum Tan Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menjadi Menteri Besar Kedah.
Sekiranya ada masa, bolehlah lajak ke Gunung Keriang, Muzium Padi, Pusat Sains Negara serta Kota Kuala Kedah, yang tidak jauh dari Bandaraya Alor Setar.
Kalau berasa haus dan lapar, banyak gerai-gerai jualan sekitarnya, menyajikan makanan utara yang sedap dengan harga berpatutan.
‘Peknga ikan sekoq’, pulut ‘nyoq’ ikan kering, sambal ikan keli, asam pedas ikan termenung, gulai ikan darat, bubur caca, laksa, bihun sup utara dan lain-lain menu tersedia yang makan sekali, pasti hendak lagi. – HARAKAHDAILY 27/1/2025












