
KANGAR: Dasar beras negara yang tidak berubah sejak lebih dua dekad kini mencetuskan pelbagai masalah hingga membelenggu pesawah, pengilang, dan pengguna.
Isu utama terletak pada harga beras tempatan yang kekal pada kadar RM26 bagi berat 10 kilogram, tidak pernah disemak sejak hampir 20 tahun lalu, sedangkan harga beras di negara jiran sudah jauh lebih tinggi.
Sebagai perbandingan, harga beras di Thailand mencecah RM3.70 sekilogram, di Indonesia RM4, Filipina RM4, Vietnam RM4.60, manakala Singapura mencatatkan harga tertinggi pada RM5.
Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, harga siling beras yang rendah itu sudah tidak sesuai dengan kos pengeluaran padi yang semakin meningkat.
“Kalau kita lihat hari ini, dasar beras yang ada sudah lapuk, lebih 20 tahun tidak sesuai lagi dengan perkembangan semasa ekonomi.
“Demi menjaga semua pihak (pesawah, pengilang dan pengguna), kita minta dasar ini disemak semula, khususnya harga beras yang sudah tidak relevan dengan harga semasa belian padi,” katanya.
Menurutnya, harga belian padi yang menjunam kepada RM1,300 per tan metrik menyebabkan pengilang tidak mampu membeli padi pada harga tinggi.
Akibatnya kata beliau, kilang-kilang beras, khususnya milik Bumiputera, semakin terhimpit.
“Hampir 100 peratus kilang-kilang beras Bumiputera sudah gulung tikar, daripada 147 kilang di seluruh negara, kini hanya tinggal tujuh bertahan. Itu pun menanti masa untuk ‘bungkus’,” katanya.
Cadangan penyelesaian
Marzukhi mencadangkan agar beras tempatan dan import diseragamkan di bawah satu label, dengan campuran beras tempatan dan import, lalu dijual pada harga antara RM32 hingga RM34 sekampit 10 kilogram.
Harga ini masih lebih rendah berbanding negara lain dan mampu memberi keseimbangan kepada pesawah dan pengilang.
“Jika tidak diseragamkan, beras tempatan pada harga RM26 itu tetap tidak ada di pasaran kerana pengilang-pengilang besar sudah lama mencampurkan beras tempatan dan import, kemudian dijual pada label import dengan harga melebihi RM40 sekampit,” katanya.
Selain itu, tegas Marzukhi, pengguna sering tertipu dengan label beras import yang sebenarnya mengandungi 60 peratus beras tempatan.
“Disebabkan dasar yang lapuk ini, pengguna menikmati beras ‘tempatan’ pada harga import.
“Kita sudah jauh ketinggalan berbanding negara lain. Contohnya di Thailand, mereka telus dan ada label yang menyatakan jika ada campuran beras,” katanya lagi.
Keluhan pesawah dan pengilang
Keluhan pesawah turut dilaporkan apabila harga lantai belian padi yang terlalu rendah menyebabkan mereka mengalami kerugian besar.
Mereka kini mendesak kerajaan menaikkan harga lantai kepada RM1,800 per tan metrik, sejajar dengan kos penanaman yang semakin meningkat.
Bagi pihak pengilang pula, mereka mendakwa terpaksa menanggung kerugian hampir RM900 juta setahun jika harga belian padi tinggi, tetapi harga beras kekal rendah.
“Harga RM26 sudah tidak lagi relevan dan pengilang terpaksa berdepan dengan kerugian yang berterusan,” kata seorang pengilang dari Pulau Pinang, Khor Ah Peng, 68.
Langkah segera diperlukan untuk mengemas kini dasar beras negara demi memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk pesawah, pengilang, dan pengguna seterusnya menjamin kelestarian industri beras tempatan. – HARAKAHDAILY 28/1/2025











