
KOTA BHARU: Menteri Besar berbangga silibus pendidikan dirangka oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) dilaksanakan dengan sempurna di 45 sekolah agama di Kemboja.
Malah Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud turut mengalu-alukan pelajar negara itu agar meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Beliau berkata, pihaknya menjadikan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan institusi pendidikan kelolaan YIK sebagai jambatan bagi mencapai hasrat tersebut.
“Saya menawarkan kepada anak-anak pelajar agar menjadikan Kelantan sebagai destinasi pilihan untuk menyambung pengajian termasuk sekolah-sekolah harian di bawah YIK.
“Pusat Pengajian Pondok YIK dan KIAS jadi pilihan melanjutkan pengajian ke luar negara ke Universiti Al-Azhar, Mesir atau Universiti Az-Zaitunah di Tunisia,” katanya.
Menurut beliau dalam satu hantaran di Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu mengadakan lawatan bagi melihat perkembangan Islam di Kemboja.
Sebelum ini media melaporkan KIAS selepas mendapat status kolej universiti, institusi pengajian tinggi itu sedang mengorak langkah bagi mencapai kedudukan sebuah universiti penuh.
Bagi mencapai hasrat tersebut KIAS perlu menerima kemasukan pelajar antarabangsa dan tempatan seramai 2,000 dalam pelbagai peringkat pengajian dari sijil sehingga ijazah.
Setakat ini hanya pelajar lepasan sekolah YIK yang melanjutkan pengajian di KIAS, malah memerlukan peranan sekolah untuk beri galakan meneruskan pengajian di institusi itu.
Sementara bagi pelajar melanjutkan pengajian peringkat ijazah pula mempunyai keistimewaan termasuk meneruskan pengajian tahun tiga di Universiti al Azhar, Mesir.
KIAS dinaiktaraf sebagai kolej universiti pada 23 Mac 2021 yang dilahirkan daripada Maahad Ad-Dakwah Wal Imamah diwujudkan pada 1 Jun 1994. – HARAKAHDAILY 20/1/2025




















