Lucas Isa Ahmad peserta termuda Khatan Perdana

DUN Rhu Rendang 2025

- Advertisement -

MARANG: Seorang program Khatan Perdana 2025 DUN Rhu Rendang, Lucas Isa Ahmad, 4 tahun, seorang anak kacukan Perancis-Malaysia mencuri perhatian ramai.

- Advertisement -

Lucas, anak kepada Danial Benoit Julian, warga Perancis, dan Noraini Anwar, seorang penduduk tempatan merupakan peserta termuda program diadakan di Masjid Rhu Muda, di sini kelmarin.

Noraini Anwar, yang juga pengundi DUN Rhu Rendang, menjelaskan bahawa dia memilih program ini kerana aktiviti menarik dan meriah diadakan sepanjang penganjuran.

“Program khatan ini adalah cadangan daripada mak saudara saya selepas mengetahui hasrat saya untuk mengkhatankan anak saya. Saya terus mendaftarkan Lucas untuk program ini.

“Di Perancis, proses khatan dilakukan seorang demi seorang di klinik, tetapi di sini suasananya sangat berbeza dan menyeronokkan. Berkhatan beramai-ramai memberikan pengalaman sangat berharga buat anak saya,” kata Noraini.

Suaminya, Danial Benoit Julian, turut melahirkan rasa kagum terhadap program tersebut.

“Saya sangat teruja dengan suasana meriah ini. Doktor yang mengkhatankan Lucas sangat profesional dan tenang, dan keseluruhan program ini sangat tersusun,” katanya.

Noraini turut berkongsi, suaminya pertama kali menyaksikan tradisi khatan ini, termasuk acara siraman air bomba yang menghidupkan suasana.

“Saya terangkan kepada suami bahawa inilah cara khatan di Malaysia. Kalau dulu, budak-budak akan mandi sungai sebagai persediaan. Tradisi ini sangat berbeza daripada apa yang biasa dilihat di Perancis,” tambahnya.

Program Khatan Perdana ini turut dihadiri beberapa tokoh masyarakat, termasuk Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof dan Pegawai Khas ADUN Rhu Rendang, Ustaz Najmuddin Rani.

Juga Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Hassan Awang, dan Timbalan Pengerusi Masjid Rhu Muda, Azlan Abd Wahab.

Dengan suasana penuh kemeriahan dan tradisi, program ini terus menjadi platform penting untuk menyemai nilai-nilai agama dan budaya dalam komuniti setempat.

Kehadiran Lucas Isa Ahmad dan keluarganya memperlihatkan bagaimana tradisi ini dapat merentas sempadan budaya dan memberi pengalaman bermakna kepada semua. – HARAKAHDAILY 20/1/2025

- Advertisement -