
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Datuk Mohamad Hamsan Awang Supai meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, pada jam 11:20 malam tadi.
Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah sebelum itu dimasukkan ke wad hospital berkenaan akibat serangan jantung.
Berita itu dimaklumkan sendiri oleh pegawai khasnya, Azizul Nasry ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin, lapor Sinar Harian.
Azizul berkata, jenazah Mohamad Hamsan dibawa balik ke rumahnya di Taman Kong Lok, Sandakan untuk urusan pengebumian.
Katanya, jenazah akan dibawa ke Masjid Pangiran Batu 7 untuk solat jenazah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bintang Baru Rancangan Sungai Manila sebelum Zuhur.
“Jenazah dibawa pulang pada jam 2 pagi dari Kota Kinabalu ke Sandakan melalui jalan darat dan dijangka tiba sekitar jam 9 pagi.
“Sahabat handai boleh menziarah Allahyarham buat kali terakhir di Masjid Pangiran Batu 7,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke 16 pada 2020, Mohamad Hamsan mewakili Barisan Nasional menang saingan lima penjuru kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga dengan majoriti 1,538 undi. – HARAKAHDAILY 20/1/2025











