
NEW DELHI: Beregu lelaki badminton negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Ramsani mencipta sejarah apabila menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka India menewaskan beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Sze Fei-Izzuddin yang turun selaku pilihan ketiga kejohanan bertaraf Super 750 itu, bangkit daripada tekanan untuk menewaskan Won Ho-Seung Jae dengan keputusan 21-15, 13-21, 21-16 dalam tempoh 52 minit.
Kemenangan tersebut menjadi gelaran pertama buat beregu nombor satu negara itu, sekali gus menebus kekecewaan mereka selepas terkandas pada pusingan pertama di Terbuka Malaysia minggu lepas.
Hasil kemenangan tersebut, Sze Fei-Izzuddin membawa pulang hadiah bernilai AS$70,300 (RM316,631), manakala beregu Korea Selatan itu menerima AS$33,250 (RM149,836).
“Kami bergelut tetapi gembira kerana dapat mengatasi mereka. Kami terpaksa banyak bersabar selepas mereka tidak melakukan banyak kesilapan mudah,” kata Sze Fei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sebagai rekod, kali terakhir beregu lelaki negara merangkul kejuaraan Terbuka India adalah pada 2010 menerusi gandingan Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari. – HARAKAHDAILY 20/1/2025











