FAST MBAS inovasi urusan bayaran guna teknologi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pelancaran aplikasi telefon Friendly And Smart Technology (FAST) adalah satu lagi langkah penting dalam usaha Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) untuk memajukan sistem penyampaian perkhidmatan di bandar raya ini dan di negeri Kedah amnya. 

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, aplikasi telefon FAST, bukan sahaja memperkenalkan inovasi dalam urusan bayaran, tetapi juga menggalakkan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.

“Menggunakan teknologi dalam kehidupan harian adalah satu perubahan yang perlu kita hadap seiring dengan perkembangan dunia semasa.

“FAST MBAS adalah satu aplikasi telefon pintar yang membolehkan orang ramai membuat bayaran dan semakan perkhidmatan MBAS,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pelancaran Aplikasi FAST, MBAS, di Aman Central, di sini semalam.

Dalam pada itu, Sanusi juga menyambut baik usaha MBAS tersebut kerana selain kemudahan yang ditawarkan menerusi aplikasi ini, ia tidak ketinggalan membantu mempromosi Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

Jelas beliau, melalui pemaparan info berkaitan lokasi pelancongan dan tempat-tempat yang menarik di Kedah, ia memudahkan para pengunjung membuat pilihan terutama di lokasi pilihan orang ramai.

Selain tambahnya, dapat membantu pelancong memilih lokasi untuk menjamu selera di premis makanan sekitar Bandar Raya Alor Setar.

“Aplikasi FAST bukan sahaja membolehkan orang ramai membuat bayaran cukai pintu, tetapi turut menyediakan kemudahan untuk membuat bayaran lain seperti sewaan gerai dan premis, bayaran lesen.

“(Juga) bayaran kompaun serta pelbagai perkhidmatan lain lagi. Semua transaksi ini, kini boleh dilakukan melalui satu platform yang mudah, pantas, dan efisien.

“Ini merupakan langkah besar ke arah merealisasikan Kedah Cashless 2025, di mana penggunaan tunai semakin dikurangkan, dan peralihan ke sistem digital diterima sebagai norma dalam kalangan rakyat,” jelas beliau itu.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada MBAS, khususnya kepada Datuk Bandar, Dato’  Mohd Yusri Md Daud, atas anjakan besar dalam perkhidmatan awam di Bandaraya Alor Setar ini.

“Semoga FAST MBAS menjadi contoh terbaik yang boleh diikuti oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain di Kedah dan dengan adanya usaha seperti ini, diharapkan agar lebih ramai pemodal individu dan syarikat swasta berminat menjadikan negeri ini sebagai destinasi perniagaan bagi merancakkan lagi ekonomi setempat,” kata beliau lagi.

Majlis pelancaran itu selain turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Heitech Padu Bhd, Hasrul Azuan Mohd Yusof dan Setiausaha MBAS, Nasrankamil Noh.

Selain itu hadir bersama, Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamuden dan ADUN Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari serta ADUN Anak Bukit, Rashidi Razak dan ADUN Derga, Muhamad Amri Wahab. – HARAKAHDAILY 20/1/2025

- Advertisement -