
HULU LANGAT: Pusat Khidmat DUN Semenyih tetap meneruskan usaha untuk menyerahkan sumbangan 100 naskhah Al-Quran kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) Bandar Rinching walaupun berdepan larangan untuk memasuki premis sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz berkata, inisiatif itu bertujuan menyokong pembelajaran agama generasi muda.
“Namun, kami menghadapi halangan apabila dimaklumkan bahawa kami tidak dibenarkan masuk ke premis sekolah atas faktor pekeliling yang melarang kami. Walaupun sedikit kecewa dengan situasi yang berlaku, kami akur.
“Demi memastikan sumbangan itu sampai, kami tetap menyerahkan naskhah Al-Quran tersebut. Maka terpaksalah pihak pengurusan sekolah datang sendiri di sini untuk ambil 100 naskhah Al-Quran yang telah kami sediakan.
“Seperti biasa, yang hadir semuanya para ustazah dengan kenderaan comel mereka. ‘Mendap’ jugalah nak bawa 100 naskhah Al-Quran. Kasihan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, kelmarin dahulu.
Nushi yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS menyatakan rasa lega apabila sumbangan itu akhirnya diterima pihak sekolah, meskipun tidak dapat diserahkan secara langsung di premis itu.
“Apa yang lebih penting, anak-anak murid akan mendapat manfaat daripada sumbangan itu. Mudah-mudahan al-Quran benar-benar menjadi panduan hidup buat mereka dalam menjadi generasi yang mampu membawa perubahan positif dalam masyarakat.
“Cukup-cukuplah pendekatan purba yang memecah-belah dan melemahkan umat daripada segenap sudut. Segala cabaran mengajar kami untuk terus ikhlas dan sabar dalam memberi.
“Kadangkala, ujian kecil seperti ini hadir untuk ingatkan kita bahawa apa jua kebaikan yang dilakukan hanya Allah SWT yang layak menilai,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/1/2025











