
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu komited menangani isu hakisan pantai yang semakin kritikal di Pantai Batu Rakit, dengan melaksanakan pelbagai langkah proaktif bagi melindungi keselamatan penduduk dan kawasan terjejas.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beberapa langkah telah dirancang dan tindakan segera sedang dilaksanakan bagi memastikan keselamatan rakyat dan kawasan yang terjejas diberi perhatian utama.
“Semestinya tindakan jangka pendek, jangka panjang, dan semasa juga dipertimbangkan pelaksanaan dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial beliau selepas satu mesyuarat diadakan di Wisma Darul Iman, hari ini.
Perbincangan itu diadakan bersama Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah dan Professor Ts. Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir selaku Pengarah Institut Oseanografi & Sekitaran (INOS), UMT.
Turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat.
Menurut beliau, beberapa siri perbincangan bersama agensi berkaitan telah dijalankan sebelum ini bagi memahami situasi di lapangan.
Ahmad Samsuri turut memaklumkan, peruntukan sebanyak RM120,000 telah disalurkan untuk menyelesaikan beberapa isu kritikal di kawasan Batu Rakit.
“Keselamatan rakyat yang tinggal berhampiran kawasan ini akan menjadi keutamaan,” katanya.
Pada Sabtu lalu, beliau sendiri telah turun ke Pantai Batu Rakit untuk meninjau keadaan terkini di lokasi tersebut serta kawasan lain di seluruh negeri yang turut terkesan.
Beliau berkata, bagi mempercepatkan penyelesaian, kerajaan negeri telah berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), serta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagi mendapatkan sokongan dan kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan.
“Langkah proaktif ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Terengganu untuk memastikan keselamatan rakyat terpelihara dan mengatasi isu hakisan pantai yang semakin serius,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2025




















