Pembangunan Padang Besar jadi agenda utama Rushdan

Rushdan (duduk, tiga dari kanan) bersama komuniti Kampung Chelong, Chuping pada program dialog berkaitan peranan pihak berkuasa tempatan (PBT), kutipan sampah, kitar semula dan kebersihan.
- Advertisement -

PADANG BESAR: Pembangunan di kawasan Parlimen Padang Besar terus menjadi antara agenda utama perancangan Rushdan Rusmi, meskipun menghadapi kekangan dana.

- Advertisement -

Pelbagai inisiatif memberi tumpuan kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat terus dilaksanakan.

Antara usaha signifikan adalah membawa isu menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQS), yang dijangka memperkukuh hubungan perdagangan sempadan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Selaku Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan juga mencadangkan pembinaan Lebuh Raya Trans Kelantan-Perlis, berpotensi meningkatkan akses antara negeri dan membuka peluang ekonomi baharu.

Dalam bidang pendidikan, beliau memperjuangkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta memastikan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) mendapat peluang pendidikan setara.

Beliau aktif membahaskan isu di Parlimen, termasuk Belanjawan 2023 dan 2024, kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12, serta pelbagai Rang Undang-Undang seperti RUU Agensi Kawalan Sempadan dan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024.

Cabaran kekangan dana

Ujar Rushdan, cabaran utama adalah bergerak tanpa sebarang dana peruntukan sejak tahun pertama beliau dilantik.

“Tahun pertama sangat mencabar tanpa sesen pun dana. Banyak usaha dilakukan walaupun dengan kekangan kewangan dan akses yang terhad,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, pihaknya aktif mengemukakan pelbagai cadangan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi di Lembah Klang bagi mendapatkan dana.

“Kami mewujudkan Al Jazari Centre of Excellence bersama rakan-rakan dari institusi pengajian tinggi (IPT), yang turut menyumbang infak bulanan sebagai tanda sokongan,” tambahnya.

Rushdan turut menjelaskan, pusat khidmat Ahli Parlimen hanya bergantung kepada gaji bulanan tanpa sebarang bantuan awal daripada kerajaan pusat.

“Sehingga kini, tiada tanda bahawa PMX akan memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang seperti yang dijanjikan sebelum ini,” ujarnya.

Komitmen kemajuan Padang Besar

Rushdan mencatatkan kehadiran cemerlang di Parlimen dengan 94 peratus pada 2023 dan 100 peratus pada 2024, membuktikan dedikasinya kepada rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau memenangi kerusi Parlimen Padang Besar di bawah Perikatan Nasional (PN-PAS) dengan majoriti besar 12,514 undi, mengakhiri penguasaan Umno selama enam penggal.

Dengan pelbagai inisiatif ini, beliau bertekad menjadikan Padang Besar sebagai kawasan pembangunan progresif yang menjadi contoh kepada kawasan lain di Malaysia. – HARAKAHDAILY 15/1/2025

Rushdan menyantuni kanak-kanak yang menyertai program khatan di DUN Beseri.
- Advertisement -