Kesalahan berulang: Integriti, sensitiviti KK Mart dipertikai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka menyifatkan KK Mart telah melakukan dua pelanggaran serius dalam isu sandwic ‘ham & cheese’ menggunakan logo Halal palsu di Universiti Malaya (UM).

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Zulhilmi Suboh dengan tegas mengecam tindakan syarikat kedai serbaneka itu yang sekali lagi mencabar sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Kami ingin menegaskan dua pelanggaran serius yang dilakukan oleh pihak KK Mart; pertamanya pelanggaran Peraturan SOP Halal Malaysia (iaitu) produk halal tidak dibenarkan menggunakan istilah ‘ham’.

- Advertisement -

“(Ia) jelas merujuk kepada daging babi dalam konteks umum. Istilah ini bertentangan dengan prinsip syarak dan standard halal yang telah digariskan.

“Keduanya, penyalahgunaan logo Halal (iaitu ) produk tersebut menggunakan logo Halal palsu, sedangkan pihak pengeluar produk bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dikeluarkan JAKIM,” ujarnya.

Penyalahgunaan logo halal itu menurutnya, merupakan satu bentuk penipuan terhadap pengguna Muslim dan penghinaan kepada sistem Halal di Malaysia.

Beliau merujuk kenyataan JAKIM pada 10 Januari lalu yang mengesahkan bahawa produk tersebut bukan sahaja tiada sijil Halal, malah syarikat pengeluar tidak pernah berdaftar dengan JAKIM sebagai pemegang SPHM.

Zulhilmi berkata, perbuatan itu bukan hanya melanggar peraturan, tetapi juga menimbulkan persoalan mengenai integriti pihak KK Mart dalam menghormati sensitiviti agama.

Tegasnya, umat Islam bertanggungjawab memastikan makanan yang masuk ke dalam tubuh badan adalah halal dan bersih sebagaimana perintah Allah SWT dalam ayat 172 surah al-Baqarah.

Beliau turut mengungkapkan hadis Rasulullah SAW mengenai penolakan terhadap penipu dan kesal apabila KK Mart bukan kali pertama melakukan tindakan tidak sensitif seperti itu.

Sebelum ini katanya, syarikat itu pernah menjual stoking dengan kalimah ‘Allah’ yang jelas menghina sensitiviti umat Islam dan tindakan berulang itu menunjukkan sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab KK Mart.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka menyeru pihak berkuasa seperti JAKIM dan KPDN untuk mengambil tindakan tegas terhadap KK Mart atas pelanggaran ini.

”Kami juga menggesa mereka memohon maaf secara terbuka dan mengambil langkah drastik bagi memastikan kesalahan ini tidak berulang.

”Kami akan terus memantau isu ini dan memastikan sistem halal negara dipertahankan tanpa kompromi. Hal ini penting untuk menjaga kepercayaan masyarakat Islam serta integriti sistem halal yang menjadi kebanggaan Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2025

- Advertisement -