
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyifatkan pengeluar sandwic ‘ham & cheese’ dalam isu jualan di KK Mart Universiti Malaya (UM) jelas telah memanipulasi logo Halal.
Presiden GAMIS, Imran Sulaiman berkata, ia apabila pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan bahawa produk tersebut tidak mempunyai sijil Halal.
Bidas beliau, hal ini sekaligus membuktikan bahawa cubaan KK Mart untuk menipu umat Islam sedangkan ia adalah isu sensitif yang telah menyentuh 3R (kaum, agama, raja) di Malaysia.
Sehubungan itu Imran berkata, GAMIS mendesak agar pihak pengurusan KK Mart dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal agar dapat dijadikan sebagai pengajaran pada masa hadapan.
“GAMIS mengecam sekeras-kerasnya sikap pihak pengurusan KK Mart yang disifatkan tidak menjaga sensitiviti majoriti umat Islam yang secara umumnya sangat mementingkan soal halal dan haram makanan ingin dibeli.
“GAMIS turut menuntut agar pihak pengurusan KK Mart memohon maaf atas kebiadapan mereka dan berjanji untuk tidak mengulanginya,” gesa beliau.
Imran berkata demikian susulan baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai dakwaan status halal produk sandwich ‘ham & cheese’ yang dijual dalam dua kedai serbaneka tersebut di UM, di sini.
“Dakwaan tersebut mula tular apabila Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UM telah membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung status halal produk tersebut.
“Hal ini kerana, perkataan ‘ham’ merupakan perkataan yang merujuk kepada bahagian paha daging babi,” ujarnya.
Tambah Imran, GAMIS akan terus menjadi suara yang lantang dalam membela dan mempertahankan kepentingan umat Islam serta menjaga keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. – HARAKAHDAILY 15/1/2025











