
KOTA BHARU: Tiga projek yang menjadi fokus utama Kerajaan Negeri Kelantan menjelang 2025 seperti Rong Chenok Agro Valley (RCAV), Kilang Padi Darul Naim di Meranti dan Projek Ternakan Haiwan Tenusu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kemudahan tersebut bakal merancakkan lagi agenda Kelantan Jelapang Makanan Negara.
Bagaimanapun beliau berkata, perubahan iklim global yang dihadapi ketika ini selain masalah sistem pengairan merupakan cabaran yang menjejaskan sedikit sebanyak perkembangan dan potensi sektor itu.
“Bersama kita terus tingkatkan usaha menjadikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara, komitmen projek seperti RACV, Kilang Padi Darul Naim, dan projek ternakan tenusu membuktikan potensi kita.
“Namun kita berhadapan pelbagai cabaran seperti perubahan iklim dan isu pengairan yang perlu diatasi dengan penuh tekad,” tulis beliau dalam satu kenyataan di laman sosial, Facebook hari ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu menyertai majlis taujihat di sini semalam yang menjadi wadah pertemuan dan perbincangan strategik antara agensi di bawah jawatankuasa tersebut.
Sebelum ini, RCAV dikomersialkan pada tahun 2025 sebagai satu lagi lokasi agro pelancongan seliaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan.
Pembangunan tersebut meliputi 600 ekar itu merangkumi penternakan rusa serta lembu hibrid, tanaman komoditi termasuk tanaman sayur hidroponik bebas kimia seperti kangkong, sawi, ubi dan sebagainya.
Pada tahun ini juga dilaporkan sebuah Kilang Padi Darul Naim di Meranti Pasir Mas mengeluarkan beras dengan jenama Agro Darulnaim dan dijangka berada di pasaran pada pertengahan 2025.
Menurut Tuan Mohd Saripudin lagi, beras tersebut akan dikeluarkan PKPNK dengan kerjasama pelabur menyiapkan kemudahan tersebut bagi mencapai hasrat kerajaan negeri untuk memiliki kilang sendiri.
Dengan keluasan tanah yang luas serta budaya penternakan rakyat Kelantan, beliau juga yakin kerajaan negeri mampu meningkatkan lagi pengeluaran produk tenusu pada tahun 2025.
Malah satu perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan diadakan sebelum ini bagi menyelaraskan peruntukan bagi projek penternakan lembu tenusu seluruh negeri itu. – HARAKAHDAILY 14/1/2025




















