Usaha martabatkan hukum syariah tak pernah berhenti

- Advertisement -

ISLAM sebagai agama yang membawa rahmat ke seluruh alam sentiasa menekankan pendidikan dan kesedaran dalam setiap aspek kehidupan, termasuk dalam pelaksanaan undang-undang.

- Advertisement -

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, Islam mendidik penganutnya untuk memahami hukum-hukum syariah, bukannya semata-mata menjatuhkan hukuman tanpa belas ihsan.

Menurut beliau, undang-undang Islam seperti hudud dan qisas mempunyai pendekatan yang sangat berbeza berbanding perundangan sivil.

Salah satu contohnya kata beliau, adalah pelaksanaan hukuman sebat syariah yang jauh lebih bersifat mendidik.

“PAS telah berjaya memperkenalkan kepada masyarakat cara sebat syariah yang jauh lebih ringan dan berperikemanusiaan berbanding sebat sivil.

“Walaupun tidak ditayangkan secara meluas, namun sudah ada kesedaran dalam kalangan rakyat, termasuk bukan Islam, tentang perbezaan ini,” katanya kepada Harakahdaily.

Ke arah pelaksanaan menyeluruh

Tambah beliau, pelaksanaan undang-undang syariah memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan persediaan rapi sebelum ia dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Banyak persediaan yang perlu dibuat. Bukannya hari ini kita putuskan, esok terus buat. Pelbagai jabatan perlu bekerjasama.

“Namun, kita perlu terus bergerak ke arah itu. Jika tidak boleh laksanakan sepenuhnya, jangan pula kita tinggalkan semuanya,” katanya.

Tegasnya lagi, menolak pelaksanaan hukuman syariah boleh membawa bahaya kepada akidah.

Oleh itu, masyarakat Islam diseru agar mendalami kefahaman terhadap undang-undang Islam, seperti hukuman hudud, yang lebih bersifat mendidik dan memberi peluang kepada pesalah untuk bertaubat.

Pendidikan berterusan membawa perubahan

Tuan Guru Dato’ Hashim turut memberi contoh perubahan yang telah berlaku dalam kalangan Muslimat PAS.

“Pada tahun 1960, ramai Muslimat PAS tidak menutup aurat. Tetapi, dengan usaha berterusan memberi kesedaran kepada masyarakat, kini amat sukar mencari Muslimat PAS yang tidak menutup aurat.

“Begitu juga dengan hukuman sebat syariah. Kita perlu terus mendidik dan memberi kefahaman kepada masyarakat,” katanya.

Jelasnya, hukuman hudud seperti potong tangan tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa mempertimbangkan keadaan pesalah.

“Contohnya, jika seseorang mencuri kerana terpaksa, seperti seorang ibu yang mencuri susu untuk anaknya, hukuman potong tangan tidak boleh dijalankan terus.

“Islam melihat kepada sebab dan keadaan seseorang itu melakukan jenayah sebelum menjatuhkan hukuman,” tambahnya.

Kes Rasulullah SAW sebagai panduan

Beliau turut mengimbau kisah di zaman Nabi Muhammad SAW yang menunjukkan bagaimana hukuman syariah memberi peluang kepada pesalah untuk bertaubat.

“Seorang wanita yang berzina datang meminta hukuman dijalankan ke atasnya. Namun, Rasulullah SAW memintanya pulang sehingga dia melahirkan anaknya.

“Selepas melahirkan anak, wanita itu kembali lagi, tetapi Rasulullah meminta dia menjaga anak itu sehingga ada penjaga yang boleh mengambil alih.

“Selepas penjagaan anak itu terjamin, barulah hukuman dijalankan. Hukuman dijalankan dengan penuh ketelitian, namun wanita itu tetap dihormati.

“Malah, Rasulullah menyembahyangkan jenazahnya selepas hukuman selesai, walaupun ada Sahabat yang mempertikaikan tindakan itu.

“Rasulullah menjelaskan bahawa wanita tersebut telah bertaubat dan menerima hukum Allah, bahkan pahalanya melebihi orang yang tidak pernah berzina tetapi menolak hukum Allah,” jelas beliau.

RUU 355 sebagai langkah awal

Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Guru Dato’ Hashim turut menekankan, PAS tetap komited untuk memperjuangkan pindaan Akta 355 sebagai langkah awal ke arah pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysia.

“Ini adalah agenda perjuangan PAS yang tidak pernah berhenti. Persediaan mental dan kefahaman rakyat perlu dilakukan secara berterusan.

“Kerajaan Pusat juga perlu sedar akan tanggungjawab mereka dalam melaksanakan hukum Islam,” katanya.

Ujarnya lagu, pelaksanaan hukum Islam adalah satu proses yang memerlukan masa dan kesabaran.

Namun, usaha ini perlu diteruskan agar masyarakat dapat memahami keindahan dan hikmah di sebalik undang-undang Islam. – HARAKAHDAILY 13/1/2025

- Advertisement -