
TAHUN yang betul-betul gila bagi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan di Sabah. Setiap hari adalah amanah, setiap langkah adalah perjuangan, dan setiap detik adalah peluang untuk membawa perubahan. Di mata rakyat, seorang ADUN adalah simbol harapan, tetapi di hati ADUN Lantikan ini, tanggungjawab itu jauh lebih berat daripada sekadar gelaran atau pangkat. Mari kita telusuri perjalanan selama setahun ADUN yang juga menjadi ketua partinya di Sepanggar, Datuk Dr Aliakbar (ADUN Sabah)
Dalam setahun, ADUN Lantikan itu telah menjelajah ke 150 kawasan ziarah yang melibatkan 38 kampung dan taman di kawasan Sepanggar yang dihuni masyarakat pelbagai latar belakang. Melangkah masuk bertemu warga emas yang perlukan perhatian, ibu tunggal yang cekal, golongan miskin yang tidak pernah meminta lebih selain daripada hak yang sepatutnya mereka nikmati, mangsa yang ditimpa musibah dan mereka yang kehilangan insan tersayang. Setiap ziarah memiliki cerita; setiap pertemuan, akan ada doa yang naik ke langit.
Ziarah beliau bukan untuk orang tertentu sahaja, bahkan untuk semua lapisan kaum dan agama. Ziarah Tahun baharu Cina, Kaamatan dan Krismas bahkan ziarah harian menjadi bukti beliau tidak memilih-milih dalam meraikan orang di sekelilingnya.
Anak muda selalu menjadi keutamaan dalam perancangan. Dengan lebih daripada 20 program khas dengan anak muda, ADUN Lantikan ini berusaha mendekati generasi penerus, mendengar keluhan mereka, dan membina ruang untuk mereka menyuarakan pandangan. Aktiviti bermain bola, beramah mesra dan menunggang motosikal bersama-sama menjadi medan ADUN Lantikan ini dalam usaha beliau untuk bersilaturrahim dengan anak muda.
15 program parti dilaksanakan sebagai seorang Pesuruhjaya di Sabah dan ketua di Sepanggar sebagai bukti bahawa politik bukanlah sekadar berdebat di dewan, tetapi turun ke akar umbi. Setiap program mesejnya jelas, usahanya berterusan untuk memastikan parti menjadi platform perjuangan rakyat dan membawa mesej perpaduan, bukan slogan semata-mata.
Dalam kesibukan, ADUN Lantikan ini sempat menulis 13 penulisan meluahkan idea dan pandangan untuk membangkitkan kesedaran para wakil rakyat dan masyarakat terhadap isu-isu penting. Menulis bukan sekadar berkata-kata, tetapi untuk bertindak, bersama-sama memajukan negeri dan negara. Padanlah dengan seruan keramat beliau ‘Saya tidak suka lawan kata-kata, mari kita #LawanKerja’. Alhasil, ziarahnya lebih banyak daripada program parti dan penulisannya.
ADUN Lantikan ini tanpa kawasan ini turut menjalankan program di luar Sepanggar. 14 kawasan dijejaki di seluruh Sabah dengan pelbagai jenis program, menyampaikan bahawa semangat kebajikan tidak mengenal sempadan. Di mana ada keperluan, di situ tenaga dan usaha akan disalurkan.
Setahun ini juga menyaksikan 23 pertemuan dengan NGO, individu daripada pelbagai latar belakang, kementerian dan agensi-agensi kerajaan. Dalam setiap pertemuan, isu-isu rakyat dibawa, solusi dirangka dan kerjasama dijalin untuk membawa perubahan. Hasilnya 10 isu penting berjaya disuarakan di platform yang sepatutnya seperti sidang DUN dan pertemuan, memastikan suara rakyat didengar dengan lantang. Apa isu tersebut?
1. Jalan raya
2. Harga tiket melambung
3. Bekalan air di UMS dan banyak kampung
4. Isu setinggan
5. Caj sukan air yang tinggi
6. Ketiadaan mahkamah syariah di setiap daerah
7. Rasuah
8. Efisiensi klinik kesihatan kerajaan
9. Elaun guru KAFA dan Imam Rawatib
10. Isu hak dan tanah orang kampung
ADUN Lantikan ini juga tidak pernah lupa akan peranan agama dan pendidikan. 27 masjid telah diziarahi, dengan hampir 30 program masjid diadakan untuk memastikan masjid kekal sebagai pusat komuniti orang kampung. Ini tidak termasuk komitmen kuliah maghrib atau subuh secara mingguan/bulanan dan tugasan sebagai khatib setiap hari Jumaat.
Sementara itu, 18 program melibatkan institusi pendidikan diadakan tanda sayangnya ADUN Lantikan itu kepada urusan pendidikan. PASTI, SERI, SRITI dan SMITI dekat di hati beliau, 18 program dihadiri menunjukkan komitmen ADUN Lantikan ini terhadap generasi yang bakal mewarisi masa depan negeri ini.
Tahun 2024 telah berlalu, ia bukan sekadar perjalanan seorang ADUN Lantikan ini, tetapi perjalanan seorang insan yang berusaha untuk memahami, menyantuni dan melindungi keperluan orang di sekitarnya. Setiap detik dalam tahun 2024 ini adalah bukti bahawa menjadi ADUN Lantikan ini bukan sekadar berkata-kata, tetapi harus laju bertindak.
Pada akhirnya, beliau selalu berkata, ‘Apa yang dilakukan bukan untuk nama, tetapi untuk membawa perubahan yang dirasai oleh semua. Kita untuk semua’
Catatan,
HASRUDDIN SYAMSUDDIN – HARAKAHDAILY 13/1/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.












