
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meningkatkan peruntukan sebanyak RM41 juta pada tahun ini berbanding RM28.6 juta pada tahun lalu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Peruntukan itu diberikan bagi menaik taraf dan menyelenggara taman rekreasi serta lokasi menarik di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, ia sejajar dengan dasar negara yang menggalakkan pembinaan lebih banyak taman rekreasi untuk masyarakat beriadah.
“Kita menyasarkan pembinaan sekurang-kurangnya satu taman rekreasi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), meskipun berskala kecil.
“Ia bertujuan menggalakkan penduduk setempat keluar beriadah bersama keluarga setiap hujung minggu, sekali gus mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan 2025, hari ini.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, di sini.
Hilmi turut memaklumkan PBT sebelum ini telah menjalankan kerja menaik taraf dan menyelenggara banyak lokasi menarik di seluruh negeri.
“Kita juga membaik pulih peralatan di taman permainan kanak-kanak yang rosak serta memperbanyakkan tempat menarik sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia (TMM 2026),” jelasnya.
Tambahnya, peruntukan bagi kebersihan dan keceriaan untuk tahun lalu berjumlah RM7.8 juta, manakala RM1.5 juta diperuntukkan untuk pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal serta RM16.2 juta untuk projek pembangunan. – HARAKAHDAILY 13/1/2025




















