
KEMAMAN: Keprihatinan terhadap nasib masyarakat setempat terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris melalui Ziarah Kasih yang diadakan semalam.
Menerusi kunjungan tersebut, Razali menyampaikan bantuan kepada Mohd Adnan Ali, seorang pesakit strok dari Kampung Ibok.
Bantuan yang diberikan berupa katil khas dan keperluan lain bagi meringankan beban penjagaan harian keluarga Adnan.
“Dahulunya, saudara Adnan merupakan usahawan yang dikenali seorang yang rajin bekerja demi mencari rezeki untuk keluarganya.
“Sama-sama kita doakan agar beliau segera sembuh, dan saya akan terus memastikan saudara Adnan mendapat perhatian serta bantuan yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.
Beliau turut menziarahi seorang mangsa kemalangan, Razali Rahim di Kampung Bukit Kuang yang baru keluar dari Hospital Kemaman selepas menjalani pembedahan.
Kata Razali yang juga Ketua Penerangan Bersatu, kunjungan itu bukan sekadar untuk menyerahkan bantuan, tetapi juga sebagai tanda sokongan moral kepada keluarga mangsa.
“Program Ziarah Kasih ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan masyarakat yang memerlukan sentiasa mendapat perhatian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/1/2025











