
KOTA BHARU: Dalam menghadapi cabaran global, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bukan hanya bertanggungjawab dalam melaksanakan perkhidmatan asas seperti pengurusan kebersihan dan pembangunan infrastruktur semata-mata.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, tetapi juga perlu meneroka inisiatif baharu untuk memperkukuh ekonomi tempatan, melindungi alam sekitar dan meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat.
Menurutnya, Ahli Majlis hendaklah menjadi pencetus idea dalam meneroka perkara baharu yang mampu memberikan pulangan hasil dengan menjalin kerjasama erat bersama pentadbiran PBT.
“Kerjasama antara kerajaan negeri, ahli-ahli Majlis dan PBT adalah kunci kejayaan matlamat kerajaan dalam Membangun Bersama Islam,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis PBT Negeri Kelantan 2025.
Seramai 288 Ahli Majljsseluruh PBT Kelantan menerima watikah masing-masing yang disampaikan oleh Menteri Besar pada majlis yang diadakan di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Menurut Menteri Besar lagi, Ahli Majlis PBT bukan sekadar pemegang jawatan, tetapi penjawat amanah yang dipertanggungjawabkan untuk menjadi suara rakyat.
Tabahnya, peranan yang dimainkan oleh setiap Ahli Majlis adalah amat penting dalam memastikan kehendak kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Melalui dasar Membangun Bersama Islam yang dimasyhurkan sejak awal pentadbiran tahun 1990, pelbagai perubahan telah berjaya dilakukan, dari sudut corak berfikir sehinggalah kepada gaya hidup rakyat.
“Rakyat mampu menterjemahkan kefahaman Islam ke dalam kehidupan mereka,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri memiliki dasar pentadbiran yang jelas untuk dicapai.
“Kini ia diterjemahkan kepada aspek pelaksanaan melalui dasar-dasar, undang-undang kecil dan garis panduan. Matlamat utama kerajaan adalah untuk memastikan rakyat terus Membangun Bersama Islam dalam segala perkara.
“Peranan Ahli Majlis amat penting untuk memastikan dasar, undang-undang kecil dan garis panduan yang telah digubal itu dikuatkuasakan secara berkesan,” katanya lagi.
Beliau menambah, Ahli Majlis juga perlu bertindak sebagai jambatan penghubung kepada rakyat dengan bukan hanya menerima aduan, tetapi juga menyampaikan maklumat kerajaan agar rakyat bergerak seiring dengan hasrat kerajaan.
Pada masa yang sama, Ahli Majlis juga diingatkan beliau untuk sentiasa berwaspada dalam memastikan setiap keputusan yang diambil adalah adil dan saksama.
“Hikmah dalam membuat keputusan adalah amat penting untuk memastikan keputusan yang ditetapkan memberi kebaikan kepada semua pihak, sama ada dalam aspek pentadbiran mahupun yang berkait dengan politik secara umum,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 13/1/2025












