PAC digesa jalan siasatan penjualan saham MAHB

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) digesa untuk bersidang bagi membincangkan isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat pelaburan asing, BlackRock.

- Advertisement -

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali berkata, tindakan kerajaan meneruskan jualan saham itu telah menimbulkan persoalan besar kepada pemegang saham.

“Ramai pihak yang mempersoalkan sama ada pihak kerajaan betul-betul mengambil berat suara pemegang-pemegang saham yang jelas menolak penjualan ini.

“Terdapat juga kebimbangan mengenai sama ada pihak Khazanah (Nasional Berhad) menekan pemegang-pemegang saham untuk menerima tawaran (penjualan saham) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sidang meja bulat bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Islam, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa; Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Justeru, Syed Hassan berkata, satu memorandum akan dihantar kepada pihak berkepentingan MAHB bagi membantah penjualan saham itu.

“Kita akan menghantar memorandum kepada semua pihak yang berkaitan, KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), KWAP (Kumpulan Wang Persaraan), PNB (Permodalan Nasional Berhad), MAHB dan Khazanah,” ujarnya.

Memorandum berkenaan akan dihantar ke Ibu Pejabat Khazanah pada Jumaat, 17 Januari pada jam 11:00 pagi sebelum ke Ibu Pejabat KWSP selepas solat Jumaat. – HARAKAHDAILY 13/1/2025

- Advertisement -