
KOTA BHARU: Kerajaan negeri meminta 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar menubuhkan jawatankuasa penduduk di taman perumahan bagi menjayakan agenda kebersihan di bawah dasar ‘Kelantanku Bersih’.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, usaha itu selaras dengan Local Agenda 21 PBT dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Beliau berkata melalui dasar ‘Kelantanku Bersih’, PBT sebagai peneraju selain elemen kebersihan diterapkan dalam diri masyarakat bagi melaksanakan program kebersihan di kawasan masing-masing.
“Untuk tahun ini 2025, saya telah mengarahkan semua PBT di negeri ini supaya menubuhkan jawatankuasa penduduk bagi menjayakan lagi aktiviti kemasyarakatan gotong-royong ini di taman-taman perumahan.
“Ia selaras dengan Local Agenda 21 dan juga SDG bagi merancakkan lagi program kebersihan ini dalam kawasan masing-masing menerusi dasar ‘Kelantanku Bersih’ yang dilaksanakan saban tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih tahun 2024 di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia Kompleks Kota Darulnaim, di sini petang semalam.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan itu dihadiri oleh semua kepimpinan kerajaan negeri termasuk wakil rakyat DUN dan Dewan Rakyat di Kelantan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu berkata, kebersihan bukan hanya di rumah, tetapi penekanan diberikan di lokasi tumpuan awam seperti taman rekreasi, pusat pelancongan dan sebagainya.
Penganjuran kempen ‘Kelantanku Bersih’ sejak 2021 dan dipertingkatkan sebagai dasar setahun kemudian katanya, merupakan salah satu usaha kerajaan mencapai status negeri maju rakyat sejahtera.
Bagi mencapai hasrat itu kata beliau lagi, aspek kebersihan menjadi keutamaan kepada sebuah pembangunan perlu diterapkan dalam diri setiap rakyat yang menjadikan PBT sebagai peneraju.
“Oleh itu saya sangat berharap agar semua 12 PBT di Kelantan sentiasa bergerak aktif dan turun melibatkan pelbagai agensi dalam melaksanakan program kebersihan di kawasan masing-masing.
“Sepanjang tahun 2024 program ‘Kelantanku Bersih’ telah dipenuhi dengan jelajah ke PBT dan gotong-royong ramai pihak yang diadakan disetiap kawasan tumpuan orang ramai diketuai oleh PBT,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/1/2025











