Jadi pilihan pelabur kerana keupayaan, ketelusan

Bukan kerana warna politik

Sanusi menerima kaligrafi Cina hasil tulisan pelajar Melayu oleh wakil SJK Cina di Wisma Darul Aman
- Advertisement -

ALOR SETAR: Pencapaian baik dalam sektor ekonomi khususnya pelaburan yang berlaku berturut-turut tanpa bermusim, membuktikan Kedah menjadi destinasi pilihan para pelabur luar negara.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pada 2024 Kedah berada di tangga ketiga dari segi kemasukan para pelabur dengan nilai pelaburan hampir RM32 billion.

“Kedah mendapat kepercayaan komuniti pelaburan dan pentadbiran luar negara untuk mendengar sendiri, perkembangan dan kesediaan kita untuk menerima kemasukan pelabur terutama dari China dan negara maju yang lain seperti United State, Jerman dan lain-lain,” jelasnya.

Pencapaian dan peningkatan itu ujarnya, membukti keyakinan besar kepada pelaburan di Kedah khususnya dari negara yang menguasai dunia sekarang ini.

Malah katanya, dengan serba keistimewaan yang dimiliki Kedah, para pelaburan berkeyakinan tinggi untuk mendirikan kilang dan melabur di sini.

Sanusi berkata demikian pada Majlis Penyampaian Peruntukan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, di Wisma Darul Aman, semalam.

Justeru beliau menegaskan, kejayaan itu pastinya akan membawa limpahan ekonomi serta peluang pekerjaan kepada anak-anak Kedah.

Oleh sebab itu katanya, pentingnya diutamakan pendidikan untuk menguasai teknologi terkini terutama masa akan datang.

“Saya dimaklumkan terdapat 58 syarikat akan turut serta dalam pelaburan khususnya berkaitan tenaga dan bateri. Ini adalah
perkembangan yang sangat baik dan menarik.

“Sebab itu semua pihak perlu terus menyokong melahirkan insan-insan berprestasi tinggi.

“Ekonomi dan kehidupan yang akan menanti di zaman akan datang adalah kehidupan berprestasi tinggi dengan teknologi tinggi yang mungkin tidak dapat dikuasai oleh ibubapa, guru-guru dan kita semua ketika ini,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Sanusi juga menyarankan agar semua pihak mengenepikan fahaman politik sebaliknya bersama-sama bersatu dalam pembangunan ekonomi yang akan menjamin kehidupan lebih baik untuk masa kini dan akan datang.

Kedah katanya, mempunyai pelbagai kaum, budaya dan bahasa yang menjadi kekuatan bagi masyarakat di sini

Jelasnya, negara atau negeri yang boleh membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam ekonomi akan diberi lebih peluang dalam politik dan sebagainya.

“Saya harap perkara itu menjadi kayu ukur kepada masyarakat di Kedah ini, walaupun kita bukanlah negeri yang menjadi ‘timbang-timbangan’ atau negeri kesayangan, tetapi Alhamdulillah, Tuhan telah membuka jalan, lebih banyak orang memilih Kedah.

“Di negara kita, kerap dimomokkan pemimpin ini boleh, pemimpin ini bijak, tak pandai, parti ini bijak, parti tu tak pandai.

“Tetapi penilaian masyarakat antarabangsa berbeza kerana destinasi pilihan pelaburan, mereka tidak tengok kita parti apa, tetapi tengok dari segi ketelusan, infra dan keupayaan menyediakan apa yang mereka mahukan,” katanya lagi.

Sementara Kedah juga ujarnya, tidak memilih warna tetapi memilih untuk berkhidmat dengan cemerlang demi kebaikan negeri dan rakyat. – HARAKAHDAILY 9/1/2025

- Advertisement -