Swasta, nyahsenarai MAHB sedang menuju kegagalan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Langkah menswastakan serta menyahsenaraikan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) daripada pasaran awam perlu dihentikan kemi kepentingan rakyat dan maruah negara.

- Advertisement -

Ini selepas Konsortium Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) melanjutkan tarikh akhir penerimaan tawaran pengambilalihan MAHB kepada 17 Januari pula.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan itu mencerminkan kegagalan rancangan kerajaan untuk menswastakan dan menyahsenarai MAHB dari Bursa Malaysia.

“Saya merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada para pemegang saham Malaysia MAHB yang masih mempertahankan pegangan saham mereka.

“Sehingga menyebabkan kerajaan melalui Khazanah terpaksa melanjutkan tarikh akhir tawaran pengambilalihan saham MAHB oleh GDA, diterajui Khazanah bersama BlackRock, dari 8 Januari kepada 17 Januari 2025.

“Tindakan ini mencerminkan kegagalan rancangan kerajaan untuk menswastakan dan menyahsenarai MAHB dari Bursa Malaysia.

“Sehingga 7 Januari 2025, laporan menunjukkan GDA masih gagal mencapai ambang penerimaan 90 peratus daripada pemegang saham.

“Keputusan untuk melanjutkan tempoh tawaran ini jelas menunjukkan penolakan daripada pemegang saham yang masih mempertahankan kepentingan aset negara,” katanya dalam kenyataan.

Keputusan itu juga katanya, menimbulkan persoalan tambahan apabila lima Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif MAHB sebulat suara mengesyorkan kepada pemegang saham untuk menolak tawaran pengambilalihan tersebut yang dianggap tidak adil dan munasabah.

“Saya menyeru semua pihak untuk bersama Perikatan Nasional (PN) untuk bersama-sama memperjuangkan ketelusan, integriti, keadilan dan tatakelola dalam pentadbiran negara,”katanya.

Blackrock, iaitu syarikat pelaburan multinasional Amerika Syarikat, pada Januari lalu, mengumumkan ia dalam proses mengambil alih Global Infrastructure Partners (GIP) pada harga AS$3 bilion (kira-kira RM14 bilion) secara tunai.

Pengambilalihan itu dilaporkan akan dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini, iaitu bermakna antara Julai dan September. – HARAKAHDAILY 9/1/2025

- Advertisement -