Walau sibuk tugas Menteri Besar tetap hadir usrah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Meskipun sibuk dengan tugas sebagai Menteri Besar, namun majlis usrah tidak pernah dilupakan oleh Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

- Advertisement -

Beliau berkata, PAS mempunyai tiga teras iaitu tarbiah, dakwah dan siasah dalam mendidik ahlinya terhadap keutamaan perjuangan serta kesatuan fikiran sebagai gerakan Islam.

Menurutnya tarbiah dari usrah yang kukuh menjadi asas kepada gerak kerja Islam seterusnya melahirkan ahli yang komited melaksanakan kerja dakwah sehingga mencapai matlamat siasah.

“Beginilah rutin bulanan ambo (saya) dan rakan-rakan seperjuangan, tanpa mengira jawatan, pangkat, usia dan kedudukan semua berhimpun, duduk bersila, malah belunjur sekalipun.

“Kami dibasahi kalam bimbingan menyatukan hati dalam perjuangan dan pentadbiran, memasak keyakinan bahawa setiap urusan, pasti ada perhitungan dosa dan pahala,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu dalam satu hantaran di _Facebook_ malam tadi menegaskan setiap tanggungjawab dipikul bukan kemasyhuran yang boleh dibanggakan.

Kelihatan hadir sebahagian wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN), Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang bersama-sama menekuni tafsir surah al-Fath bermula ayat 11 sehingga 19.

Majlis yang diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan itu turut menelaah buku tulisan Presiden PAS yang bertajuk Khalifah Umar, Fiqh Siasah Khulafa al-Rashidin. – HARAKAHDAILY 9/1/2024

- Advertisement -