‘Berhenti Dulu Kita Solat’ disambut baik para peniaga

Affendi dan Mohd Shukri beramah mesra dengan para peniaga dan pengunjung Pasar Malam Kangar, semalam
- Advertisement -

KANGAR: Kempen ‘Berhenti Dulu Kita Solat’ yang dilaksanakan sejak September lalu terus mendapat sambutan positif daripada peniaga dan pembeli di pasar malam sekitar negeri Perlis.

- Advertisement -

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, hampir semua pasar malam di bawah seliaan MPK kini dilengkapi kemudahan surau mudah alih bagi memastikan umat Islam dapat menunaikan solat dengan selesa.

“Ketika masuk waktu solat, suasana di pasar malam akan lengang seketika kerana majoriti peniaga lelaki akan ke surau untuk menunaikan solat. Hanya peniaga dan pembeli wanita yang kelihatan ketika itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Affendi, penambahbaikan kecil seperti pemasangan lampu dan penyediaan bekalan air turut dilakukan di beberapa lokasi seperti Jejawi bagi memastikan kelancaran kempen tersebut.

Terdapat 14 pasar malam di bawah seliaan MPK, dengan hampir semua lokasi sudah dilengkapi kemudahan surau bagi memudahkan peniaga dan pembeli menunaikan kewajipan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, penguatkuasaan program ini selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang diadakan pada 21 Ogos lalu.

“Peniaga Islam diwajibkan menghentikan operasi selama 20 minit ketika Maghrib, termasuk 10 minit sebelum masuk waktu, untuk memastikan mereka dan pengunjung dapat solat tanpa tergesa-gesa,” jelasnya.

Maklum Asrul, anggota penguat kuasa tempatan akan terus turun padang bagi memberi nasihat dan teguran kepada peniaga yang mungkin belum mematuhi sepenuhnya peraturan tersebut.

Kempen ini bukan sahaja mendapat sokongan peniaga, malah pembeli juga menyifatkan usaha ini sebagai langkah terbaik dalam memastikan keseimbangan antara tuntutan duniawi dan ukhrawi.

Hadir sama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Mohd Ridzuan Hashim. – HARAKAHDAILY 9/1/2025

- Advertisement -