
KANGAR: Pasar Malam Kangar mampu menjadi contoh terbaik dalam aspek kebersihan dan keselesaan kepada pasar malam lain di negeri Perlis.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli memuji usaha Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang komited dalam menjaga kebersihan pasar malam tersebut.
“Hari ini saya berpeluang berjalan di pasar malam MPK. Terima kasih kepada Yang Dipertua (YDP) dan MPK kerana memastikan kebersihan pasar malam ini.
“Keadaan ini harus dijadikan contoh kepada semua peniaga,” katanya selepas membuat tinjauan di Pasar Malam Kangar, semalam.
Beliau juga memuji kadar sewa rendah yang ditawarkan untuk Bazar Ramadan akan datang, iaitu bermula serendah RM300 sebulan.
Namun, beliau turut menjelaskan sedikit tambahan kos akan dikenakan bagi kebersihan kepada peniaga dengan sisa buangan yang banyak.
“Langkah ini penting supaya peniaga tidak menaikkan harga barang akibat kos sewa tinggi.
“Saya berharap usaha ini diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada semua pihak,” tambah beliau.
Sementara itu, Mohd Shukri memaklumkan, tiada permohonan diterima setakat ini untuk pembukaan Bazar Tahun Baharu Cina.
Namun, pihak kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan sebarang permohonan yang akan diajukan.
Beliau berharap MPK terus melaksanakan usaha cemerlang ini agar pasar malam di negeri Perlis dapat menjadi rujukan dalam aspek kebersihan, keselesaan, dan kemudahan ibadah untuk masyarakat. – HARAKAHDAILY 9/1/2025




















