
MARANG: Kerajaan Terengganu sedia berkongsi pengalaman dalam bidang pelancongan dengan negeri-negeri lain di bawah Kerajaan Empat Negeri (SG4).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, dari segi budaya negeri SG4 hampir serupa.
Bagaimanapun katanya, Terengganu mempunyai tiga program pelancongan yang tiada di tempat-tempat lain.
“Pada bulan Ramadan Terengganu ada Festival Pelita pada minggu pertama dan bagi tahun 2025 negeri-negeri lain termasuk Perlis, Kedah dan Kelantan akan turut mengikuti festival itu.
“Aktiviti mencandat sotong juga tiada di tempat. Hanya di perairan Terengganu sahaja, dan tahun 2025 kita panggil negeri SG4. Negeri-negeri lain yang berminat pun boleh datang termasuk Thailand dan Singapura.
“Kita akan sediakan bot kepada mereka bagi menyertai program tersebut,” katanya di sini.
Razali juga berkata, Terengganu mempunyai karnival pantai yang diadakan secara besar-besaran melibatkan wakil daripada setiap daerah di negeri itu.
Menurutnya juga karnival pantai dan pelita rakyat boleh dianjurkan di negeri lain di bawah SG4.
Kata beliau juga pada 2024 kehadiran pelancong asing ke Terengganu diangggarkan sebanyak 30 peratus.
“Sebelum ini ada pelancong gerun hendak datang ke Terengganu kerana ada provokasi pihak tertentu dengan menghodohkan negeri ini.
“Namun ekoran provokasi politik lebih ramai pelancong luar datang ke Terengganu bagi melihat keadaan sebenar. Provokasi terbabit dianggap sebagai promosi percuma untuk Terengganu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/1/2025




















