
MAKKAH: Seramai 65 anak muda yang menyertai Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan menziarahi kota Taif sebagai sebahagian daripada program penghayatan sirah Islam, terutama untuk menyemai cinta kepada Rasulullah SAW dan memahami cabaran dakwah Baginda.
Program ini membawa peserta menjejaki kawasan bersejarah yang berkait rapat dengan perjuangan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda.
Antara lokasi utama yang diziarahi ialah Masjid Ibnu Abbas, yang dinamakan sempena Abdullah Ibnu Abbas, seorang sahabat Rasulullah SAW yang dikenali sebagai kerana sumbangannya dalam ilmu tafsir dan hadis.
Masjid ini bukan sahaja menjadi pusat ilmu pada zamannya, tetapi lokasi penting yang mengingatkan umat Islam kepada dedikasi dan kebijaksanaan Ibnu Abbas dalam menyebarkan Islam.
Peserta juga melalui kawasan sekitar Kebun Addas, lokasi yang menyimpan kisah pertemuan Rasulullah SAW dan Addas, seorang hamba Nasrani yang akhirnya memeluk Islam selepas mendengar kebenaran risalah Baginda.
Mutawwif Andalusia, Ustaz Zaki Ridzuan, menekankan kepentingan lokasi-lokasi ini dalam membina semangat dan keimanan generasi muda.
“Kota Taif menjadi saksi kepada kecekalan Rasulullah SAW dan lokasi seperti Masjid Ibnu Abbas memberi pelajaran mengenai kepentingan ilmu serta dakwah yang berterusan,” katanya.



Program ini turut menjadi medan bermuhasabah bagi peserta seperti Ahmad Fithry Aris, 32, yang melahirkan perasaan terharu dapat menjejaki tempat bersejarah ini.
“Berdiri di lokasi yang menjadi saksi sejarah perjuangan Islam benar-benar membuat saya lebih menghargai pengorbanan Rasulullah SAW dan kepentingan untuk mencontohi akhlak Baginda,” ujarnya.
Peserta juga meluangkan masa menziarahi kilang minyak wangi bunga mawar. Mereka diberi penerangan mengenai cara penghasilan minyak wangi dari kelopak bunga mawar yang dimasak sehingga menjadi minyak asli berbau harum. Minyak wangi ini bukan sahaja dijual di Arab Saudi, malah dieksport ke negara lain.
Ziarah ini bukan sahaja menjadi platform untuk generasi muda mendalami sejarah Islam, malah memperkukuhkan keimanan dan jati diri peserta. Penganjur berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai anak muda.
Ziarah di Kota Taif merupakan sebahagian Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan hasil kerjasama Andalusia Travel & Tours dan Masjid Imanul Faizin, Melor di Kelantan yang bertujuan memberikan peluang kepada golongan muda menunaikan ibadah umrah buat kali pertama dengan syarat perlu solat berjemaah 90 waktu secara tetap di Masjid Imanul Faizin.
Kumpulan pertama terdiri daripada 65 peserta, iaitu 36 lelaki dan 29 wanita; lima pengiring dari urusetia Masjid Imanul Fa’izin serta dua mutawif yang membimbing peserta sepanjang ibadah umrah selama 12 hari 10 malam meneruskan pengembaraan mereka ke bumi Madinah. – HARAKAHDAILY 6/1/2025




















