
KUALA KEDAH: PAS Negeri Kedah bakal memiliki padang bola sendiri yang akan dibangunkkan di Kompleks PAS Kedah, Batu 9, Kota Sarang Semut, di sini.
Bendahari PAS Kedah, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, padang bola merupakan sebahagian prasarana yang akan dibangunkan secara berfasa sekitar Komplek Pentadbiran PAS berkenaan.
“Padang bola ini akan dilengkapi dengan stadium mini dan kemudahan yang lengkap dan membuka peluang kepada masyarakat untuk manfaatkan fasiliti yang ada di sini,” katanya pada hantaran di media sosialnya, di sini.
Terdahulu, beliau mengiringi Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya dan Setiausaha PAS Kedah, Senator Ustaz Musoddak Ahmad meninjau tapak yang akan dijadikan padang bola tersebut.
Tinjauan itu diadakan sebaik sahaja selesai himpunan pagi kakitangan pejabat pentadbiran Kompleks PAS Kedah, semalam.
Azam yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah turut menegaskan, PAS Kedah selain itu menawarkan sewaan dewan tertutup untuk pelbagai majlis seperti kenduri kahwin, konvokesyen, persidangan dan lain-lain.
“Tak cukup dengan itu, kami juga ada bilik penginapan bertaraf hotel, sesuai untuk berehat semasa program dan pakej-pakej kenduri perkahwinan juga disediakan,” jelasnya lagi.
Selain itu katanya, setiap kali tibanya bulan Ramadan, PAS Kedah turut menawarkan sewaan untuk majlis iftar di Cafe VIP, Aras 5, bangunan tersebut.
Justeru ujarnya, apabila padang bola dan stadium mini itu siap nanti, akan bertambah lagi keceriaan di kompleks itu dan pastinya menjadi medan anak-anak muda melakukan aktiviti sukan serta riadah. – HARAKAHDAILY 6/1/2025












