
ARAU: Perjuangan politik PAS sejak 1951 adalah untuk menegakkan syariat Islam secara menyeluruh, bukan sekadar memperjuangkan aspek ibadah semata-mata.
Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah berkata, Islam adalah ‘Ad-Din’, satu sistem kehidupan lengkap meliputi hubungan manusia dengan Allah, sesama manusia, dan alam.
“Islam bukan hanya hubungan peribadi dengan Tuhan seperti konsep ‘religion’ di Barat, tetapi ia adalah sistem menyeluruh yang mencakupi semua aspek kehidupan, termasuk politik.
“Politik menentukan corak perjalanan masyarakat, kerana itu perjuangan PAS amat menitikberatkan bidang ini,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Mega Karnival Arau Sejahtera, di sini semalam.
Beliau turut menjelaskan, penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah menunjukkan sifat Islam yang menuntut pembentukan sebuah negara berdaulat.
Piagam Madinah yang dirangka oleh Rasulullah menjadi perlembagaan negara Islam pertama di dunia, menandakan betapa pentingnya kuasa politik dalam agama.
Keberkatan dari takwa
Nik Amar turut menekankan kepentingan takwa sebagai asas kepada kejayaan individu dan masyarakat.
Beliau mengaitkan konsep keberkatan dengan firman Allah yang bermaksud, “Jika sesungguhnya penduduk negeri itu bertakwa, nescaya Kami akan buka kepada mereka pintu keberkatan dari langit dan bumi.”
Beliau optimis bahawa program-program seperti ‘Jom Solat’ dan ‘Jom Baca Al-Quran’ yang dilaksanakan PAS mampu menguatkan takwa rakyat dan membawa keberkatan kepada negeri-negeri di bawah pentadbiran parti tersebut.
Kejayaan dan cabaran
Sejak penubuhannya, PAS ujar beliau, telah berjaya menguasai empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Menurutnya, kejayaan itu tidak hanya terletak pada keupayaan mentadbir, tetapi juga pada usaha menanam kesedaran Islam yang mendalam dalam masyarakat.
“Untuk mengekalkan pentadbiran dan memperluaskan pengaruh ke negeri-negeri lain, PAS mesti menunjukkan pentadbiran yang lebih baik dan berkesan.
“Kita tidak hanya perlu pandai membaca Al-Quran atau bersolat, tetapi juga mahir mentadbir kerajaan,” ujar beliau.
Mohd Amar juga menekankan pentingnya keyakinan terhadap rezeki dan keberkatan daripada Allah, sambil menekankan potensi ekonomi negeri seperti sumber dolomit yang boleh menjana pendapatan untuk rakyat dan kerajaan.
Optimis hadapi PRU akan datang
Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yakin PAS mampu mempertahankan pentadbiran di negeri-negeri yang dikuasai dan melangkah lebih jauh dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
“Apa yang penting adalah keyakinan teguh kepada janji Allah, usaha gigih, dan pentadbiran yang cekap berdasarkan nilai-nilai Islam,” katanya.
Ujarnya lagi, PAS akan terus bersemangat berjuang bukan sahaja dalam politik, tetapi juga dalam membina masyarakat Islam yang kukuh berdasarkan prinsip Ad-Din.
Hal tersebut selari dengan matlamat parti itu untuk menegakkan Islam secara menyeluruh di negara ini. – HARAKAHDAILY 6/1/2025











