RM3.5 juta diperuntuk bantuan khas banjir Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sejumlah RM3.5 juta diluluskan untuk bantuan khas mangsa banjir pada kejadian November lalu, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, di sini.

- Advertisement -

Menurutnya, setiap ketua isi rumah akan menerima bantuan sebanyak RM500 yang akan diagihkan pada Januari ini.

Katanya juga, bantuan khas mangsa banjir kali ini agak berbeza dengan kejadian banjir fasa pertama dahulu.

“Untuk kali ini, kita membuat pertimbangan khusus kerana tidak semua mangsa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atas sebab-sebab tertentu.

“Ada yang berpindah walaupun rumah tidak terjejas dengan banjir tetapi terkepung serta terputus hubungan dan ada yang tidak dapat berpindah atas faktor kesihatan dan keselamatan.

“Ada juga di daerah tertentu, mangsa banjir tidak dapat berpindah ke PPS yang telah diwartakan kerana penuh dan padat,” jelasnya.

Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan
Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, berdasar ciri-ciri tersebut, dijangkakan jumlah mangsa banjir lebih ramai daripada fasa satu sebelum ini.

Walau bagaimanapun tegas beliau, akan ada bancian lagi untuk mendapatkan angka sebenar, memandangkan berdasar rekod sedia ada sekarang ini hanya jumlah yang tinggal di PPS sahaja.

Sementara katanya, jumlah mangsa banjir yang tidak berpindah akan disahkan oleh Majlis Ketua Kampung (MKK) dan Penghulu kawasan terlibat.

“Jumlah mangsa mungkin hampir dua kali ganda daripada fasa satu dahulu, sebab itu Kerajaan Negeri memutuskan daripada RM3.5 juta yang diperuntukkan, setiap keluarga menerima RM500.

“Sekurang-kurangnya ada sedikit sumbangan daripada kerajaan negeri untuk ringankan beban mereka dan boleh juga digunakan untuk persediaan buka sekolah nanti,” tambah beliau

Sementara berkaitan musim kemarau yang dijangka lebih panas pada tahun ini, Sanusi memaklumkan, kerajaan negeri akan memastikan Lembaga Sumber Air Kedah (LSAK) melaksanakan langkah-langkah tertentu agar sumber air yang ada diberi keutamaan kepada kegunaan di negeri terlebih dahulu.

Selain itu katanya, beberapa projek terdekat pada 2025 yang akan dibangunkan, antaranya bangunan asrama Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil.

“Anggaran kos sebanyak RM60 juta untuk menempatkan 2,400 pelajar. Saya sangat berharap agar majlis pecah tanah sempat dilaksanakan pada Januari ini atau paling lewat sebelum Ramadan. Kita nak bina asrama itu pada tahun ini juga,” jelas beliau

Dengan adanya asrama di dalam kampus, beliau menjangkakan suasana pembelajaran akan lebih baik dan para pelajar juga dapat menikmati kehidupan sebenar di dalam kampus.

Sebelum ini katanya, para pelajar tinggal di asrama luar kampus dan dengan situasi yang baharu ini nanti akan memberi lebih keyakinan kepada ibu-bapa untuk menghantar anak masing-masing ke UniSHAMS. – HARAKAHDAILY 2/1/2025

- Advertisement -